Subscribe RSS


Dalam kesuntukan masa kebelakangan ini saya curi sedikit waktu untuk mencoretkan sedikit penulisan berkenaan masa. Rasulullah s.a.w pernah bersabda,lebih kurang berbunyi,“ada dua nikmat yang manusia tidak akan hargai kecuali bila mereka telah kehilangannya iaitu, masa lapang dan kesihatan tubuh badan” . Itulah hakikat masa. Bila kita merasa tidak cukup masa untuk menyelesaikan kerja kita, barulah kita terbayang satu ketika kita punya cukup banyak masa yang kita bazirkan. Masa itu ibarat pedang, sekiranya kita tidak bijak mengawalnya, nescaya masa akan segera memotong kita.
Dalam konteks seseorang yang bergelar pelajar, khususnya mahasiswa, sudah pasti, masalah yang berkaitan dengan masa menjadi topik perbualan harian. Terlalu banyak assignment yang perlu disiapkan segera, banyak bab kena ulang kaji, projek, aktiviti persatuan, termasuklah urusan peribadi, perkara ini sering berlegar-legar di minda setiap mahasiswa.


Anak Usrah


“Sibuk sangat lah kak minggu ni, banyak tugasan ditambah lagi dengan midterm exam “ (mesej dari seorang ahli usrah saya bila saya Tanya bila ada kelapangan untuk buat usrah) saya tersenyum menbaca mesej tersebut. Dalam diam, hati saya berbisik, akak pun sama dik, Cuma, … nanti akan kuterangkan kepada kalian. Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga kami mencari satu masa untuk laksanakan usrah atau lebih dikenali sebagai Diskusi Ilmiah Mingguan (DIM) untuk minggu ini, walaupun kehadiran tidak penuh, aku bersyukur,sudah pasti ini lah yang Allah dah pilih. Setelah saling bertanya khabar, sebelum masuk kepada isi perbincangan saya bertanya tentang kesibukan adik-adik, hm, semua dengan laju menerangkan aktiviti- aktiviti dan tugasan yang sangat banyak. Saya beri peluang untuk mereka meluahkan segala-galanya. Selepas beberapa ketika, semuanya senyap,. Saya bersuara,
“memang begitu dik, di kampus ni, kita tidak akan lari dari keadaan persis seperti yng adik-adik ceritakan tadi” semua diam memberi tumpuan.
“Tapi, kenapa akak tetapkan kita mesti juga jumpa untuk berdiskusi begini?” saya lontarkan persoalan itu kepada mereka. Masih diam. Kalau kita tunggu kita ada masa lapang baru kita nak buat DIM, maka, tidak akan ada. Setuju?
Lalu, kenapa perlu buat DIM?

“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran” ( Al-‘Asr : 1-3 )

Kuhidangkan sedikit ayat quran yang kuyakini, cukup biasa kepada mereka. Sesibuk mana pun kita, kita tidak boleh lupa tentang hakikat kita diciptakan. Manusia memang sifatnya alpa dan lupa. Lantaran itulah, usrah dirancang sebagai majlis ilmu yang didalamnya berlaku saling mengingatkan antara satu dengan yang lain.

“Dan tetaplah member peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin." (Az-Zariyat : 55)

Kehidupan di alam kampus cukup mencabar. Terlalu banyak dugaan yang perlu ditempuh. Kadang-kadang tanpa sedar kita ketepikan hak sang Pencipta. Kita lupa hakikat kita sebagai hamba. Ada perjanjian yang akan diperhitungkan di padang mahsyar nanti. Atas kesedaran itulah, pihak BADAR, mengambil langkah mewujudkan kumpulan diskusi untuk kita saling menampung antara kita. Seperti yang selalu ditekankan, kita yang pilih masa depan kita dimana, kalau bukan syurga,maka, neraka. Tidak ada pilihan ketiga.



Nu qaba’


“Ana belum sempat nak buat usrah minggu ni, cukup padat. Sepatutnya ana buat semalam, tapi tiba-tiba lect buat kelas ganti, terpaksa dibatalkan.”
Luah seorang nuqaba’ kepadaku. Juga masalah yang sama, tidak cukup waktu. Sekiranya diberi peluang mungkin akan kita tambah waktu kepada 25 jam sehari. Tapi, memadaikah? As-Syahid Imam Hasan Albanna pernah mengatakan,
“kerja yang kita perlu laksanakan lebih banyak daripada masa yang kita ada”.
Benar. Lantaran itulah perlu pengurusan masa yang baik. Jangan ada lagi budaya bertangguh. Kemahiran menganalisis kerja-kerja berdasarkan keutamaan (aulawiyyat) peru ada. Sebenarnya, kita masih punya waktu, Cuma tidak pandai di aplikasikan dengan tugasan yang ada. Belajar lah membahagi masa. Jangan berlengah dalam menyempurnakan kerja. Kita memang akan sentiasa terhimpit dengan masa. Maka, bersedialah dengan keadaaan yang lebih sesak di masa hadapan. Ini juga medan latihan untuk kita bersedia dengan kesibukan tugasan bila kita tinggalkan alam kampus. Proses belajar memang perit. Tapi, ada kemanisan yang kita yakini dihujungnya nanti.

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yng makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah…” ( Ali ‘Imran : 110 )

Kadang-kadang hati merintih derita, jiwa menangis sedih, akal mengeluh letih, Namun hakikat hidup tak kan berubah. Yang perlu diubah adalah diri yang menghadapinya.

“Ya Allah, tatkala bahang mahsyarMU menjilat tubuh, izinkan kami sama-sama berteduh. Tatkala mizanMu teliti mengira, beratkan neracanya atas setiap jasa, naungi kami di sana, berkat kasih keranaMU”


Salam jihad di bulan Ramadhan. Moga bertemu dengan lailatul Qadar.


SrikandiMuda...

Category: | 0 Comments

0 comments to “Masa dan waktu”