Subscribe RSS

Tahun ini masuk tahun ketiga saya menggenggam segulung ijazah. Hari konvokesyen pada oktober 2010 masih lagi segar dalam ingatan, mana tidaknya, hari itulah dengan penuh terharu saya memerhatikan titisan-tisan jernih yang gugur dari kelopak mata dua insan teristimewa dalam hidup ini. Saya tahu itu air mata kegembiraan dan kebanggaan mereka, dalam kesempitan hidup, sekian banyak dugaan yang hadir, akhirnya mereka menjadi antara ribuan ibubapa yang hadir di majlis konvo anak yang mereka jaga bak menatang minyak yang penuh.
Secara pribadi, saya berbangga dengan kegigihan dua insan ini. Mereka hanya bekerja biasa, dan belajar pun hanya peringkat rendah. Satu perkara yang membuatkan saya rasa saya sangat bertuah berbanding segelintir rakan-rakan yang lain adalah, ibu dan bapa memberikan 100% kepercayaan kepada saya sejak sekolah menengah hingga kini.
“Bapa tau kamu faham apa yang kamu buat dan bapa harap selamanya kamu tidak sia-siakan kepercayaan bapa ini” pesanan ringkas yang sering saya dengar ini akan keluar dari mulut bapa setiap kali saya membuat keputusan-keputusan besar untuk hidup saya.
KEPERCAYAAN
Ya, kepercayaan itulah titik tolak saya menjadi saya yang sekarang. Saya ingat lagi sejursr mendapat surat tawaran untuk memasuki dunia universiti, saya khabarkan kepada mereka, tanpa berfikir, bapa mengizinkan saya membuat keputusan untuk diri sendiri, mak hanya mengangguk. Saya tahu malam itu mereka tidak lena tidur memikirkan saya, bagaimana anak mereka akan pergi jauh dari pandangan mata, dan kos perbelanjaan yang tidak pasti tertanggung ataupun tidak. Satu perkataan yang saya rasa mereka pegang pada ketka itu, tawakkal. Percaya saja, kalau berusaha, pasti ada jalannya.
Saya menjalani kehidupan di kampus selama tiga tahun pengajiian. Dalam tempoh ini jugalah saya berpeluang melalui satu proses tarbiyah yang tidak dilalui oleh semua orang. Bergiat aktif dalam persatuan yang berorentasikan dakwah betul-betul menggilap potensi diri. Kesibukan berprogram, menguruskan persatuan, merangka perancangan, menguruskan ahli yang pelbagai ragam, menghadapi karenah pihak pentadbiran universiti dan mendepani masyarakat kampus yang datang dari elbagai latarr belakang. Bila kenang-kenang semula, terasa banyak juga kesilapan lampau yang agak lucu bila difikirkan. Namun, itulah proses pembelajaran.
Saya ingat lagi, cuti semester pada tahun kedua pengajian, saya mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung halaman. Kami merancang untuk mengikuti daurah ilmu selama sebulan di pondok Baitul Qura, Sungai Udang, Melaka. Saya menghubungi keluarga dan memaklumkan hasrat itu, sekali lagi, kepercayaan yang diberikan oleh mereka melegakan saya. Kuasa ‘percaya’ itu sangat besar pengaruhnya. Betul kata seorang sahabat, bila orang beri kita kepercayaan , hargai. Sekali dia ambil balik, kita sukar untuk dapatkannya semula.
MEDAN LUAR KAMPUS
Setelah melangkah keluar kampus, saya sebenarnya mempunyai harapan besar untuk meninggikan ataupun sekurang-kurangnya mengekalkan ‘nilai’ diri ini. Namun , saya terpaksa mengakui, nilai itu menyusut sedikit demi sedikit. Lihat saja dunia penulisan yang bertahun-tahun saya tinggalkan. Kekerapan menelaah buku—buku ilmiah juga semakin menurun. Saya berharap perkara ini dapat saya tangani dengan segera. Setelah berbual sekejap dengan murabbi saya baru- baru ini, dapat sedikit suntikan untuk kembali muhasabah diri. Ditambah pula kehadiran sahabat-sahabat dialam maya yang menyalurkan talian hayat mengingatkan kembali zaman tarbiyah kampus itu. Saya bertegas kepada diri, apalah ertinya segulung ijazah ini, andai sebuah tarbiah itu kaku tidak seperti pohon yang tidak berbuah. Sahabat-sahabat, mari kita menambahkan nilai diri kita. Manfaatkan proses tarbiyah yang kita lalui dalam hidup ini. Bukan masa lalu yang kita perlu banggakan, tapi rancanglah untuk memastikan penghujung perjalan kita di dunia ini berkesudahan cemerlang untuk  dijadikan tiket untuk bertemu Pencipta kita di sana kelak. Paling terkesan bila ustaz Abdullah ingatkan, “kita hidup sekejap saja di dunia ini, kena tinggalkan sesuatu yang boleh membantu kita dialam lain nanti”.
SrikandiMuda...

Category: | 0 Comments