Subscribe RSS



Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan. Amatlah besar kurniaMu Ya rabb, ada lagi kesempatan untuk aku merasa nikmat berada di bulan mulia ini. Tidak dapat aku ungkapkan kesyukuranku kepadaMu. Seperti selalu di ambang Ramadhan, aku dan juga pastinya kalian dan insan lain di luar sana yang masih ada secebis nur dalam hati nya pasti akan memasang azam yang tinggi untuk tingkatkan Ibadah kepada Allah. Untuk dekatkan diri pada Allah yang Maha berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Sifat harus bagi Allah, Yakni, DIA berhak untuk mengadakan dan meniadakan sesuatu. Ya Allah, aku ini hamba lemah, pandang daku dengan pandangan rahmatMu.

Cukup terkesan malam ini, baru kini aku rasakan ada sedikit waktu untuk aku menghitung diri sepanjang perjalanan beberapa tempoh masa di bumiNya. Selama ini seringkali bercampur baur muhasabahku dengan kesibukan tugasan harian dan program-program yang berlanjutan. Tidak terasa semakin hampir detik yang aku nanti-nanti, kedatangan Ramadhan. Walaupun ini adalah Ramadhan ke-2 aku tidak bersahur yang pertama bersama keluarga, Ibu Bapa tercinta. Mungkin bagi insan lain, itu lumrah, lebih-lebih lagi hakikat zaman belajar jauh, memang itulah lumrahnya. Tapi tidak bagiku dan keluargaku. Memang sudah kebiasaan sahur pertama kami sekeluarga akan berkumpul,. Jika tidak dapat, samalah seperti raya pertama tidak bersama keluarga. Bagiku, tak mengapa, tapi, sebak juga bila semakin hampir ramadhan, semakin kerap insan-insan kesayanganku di kampung menghubungiku dan bertanyakan soalan yang sama setiap ketika, Ramadhan ni, balik tak. Walaupun mereka tahu jawapanku tetap sama, tak boleh balik. Ramadhan ini amat terkesan bagiku. Pertama kali merasakan kehidupan Ramadhan di kampus tahun lalu amat tidak kusenangi. Kehidupan terlalu sibuk. Dengan assignment yang perlu disiapkan, dengan exam, dan macam-macam lagi kesibukan yang mencalar masa privateku bersamaNya. Aku tidak kisah jika hari-hari biasa. Tapi tidak ketika Ramadhan. Bagiku, sebulan ini, tumpuan itu untukNya. Bukan bermaksud bulan lain tidak tapi ramadhan cukup istimewa. Aku sangat rindukan Ramadhan zaman sekolah dulu. Cukup banyak waktu untukNya. Tinggal di asrama, saling berusaha mengkhatamkan Al-quran,jalan beramai-ramai ke masjid, tarawih setiap malam, dan beramai-ramai datang qiamullail berjemaah di masjid sekolah di sepuluh malam terakhir Ramadhan, Tadarus tiap selesai witir, dan majlis Khatam Quran di malam-malam terakhir Ramadhan sebelum pulang ke Kampung. Ya Allah, indahnya saat itu. Kini, di alam Kampus, amat payah untuk wujudkan suasana sebegitu. Memang keadaan berbeza, Cuma yang kukesali, tinggal berapa hari lagi Ramadhan, seolah-olah tidak ada persediaan langsung yang dipamerkan oleh masyarakat kampus. Bagi Adik-adik yang belum lagi menjejak ke alam kampus, yang masih berkesempatan merasa suasana alam persekolahan, hargai saat itu, tidak akan berulang lagi.

Kita Perlu Berbeza.

Sahabat-sahabatku, kita perlu berbeza. Buatlah persediaan terutama sekali dari sudut spiritual kita. Bersihkan segala karat-karat dalam hati kita, moga Ramadhan kali ini, ada kesempatan untuk kita menyucikan semula hati kita yang telah dicemari noda dunia. Moga di hujung Ramadhan nanti kita boleh merasakan ketenangan hati hasil usaha kita mengikis segala mazmumah yang bersarang di hati. Mohon dengan sangat kepada Tuhan sekalian alam, agar dilembutkan hati kita untuk terus ditarbiyyah.
Tanamkan Azam dari sekarang. Jangan biarkan ramadhan berlalu begitu sahaja, kerana kita tidak tahu, adakah sempat untuk merasa kehidupan di Ramadhan seterusnya. Saling mengingatkan antara satu dengan yang lain. Ku mohon jasa baik sahabat-sahabat, ingatkan aku bila terlupa, tegur aku bila tersilap. Mari kita sama-sama susun barisan sama-sama menuju mardhatillah.

Sebelum Terlewat

Aku memohon ampun kepadaMu Ya Rabb. Terlalu banyak dosa yang telah ku lakukan. Terlalu banyak perintahmu yang ku ingkari. Ampunkan dosa hambaMu ini. Berilah aku cahaya Iman yang tidak akan malap hingga ke hembusan nafasku yang terakhir. Insan agung Muhammad S.A.W, Syafaatkan aku ya Rasulullah. Ummatmu ini semakin jauh dari landasan yang telah engkau ajarkan. Terlalu jahil dengan ilmu yang engkau sampaikan. Moga ada kesempatan untuk kita bersua di ‘SANA’. Pengorbananmu tidak mampu untuk aku gambarkan apatah lagi untuk kuulangi melainkan hanya secebis.

Buat Kedua Ibu Bapa tercinta, ampunkan dosa anakmu ini. Segala yang terbaik telah kalian persembahkan untuk ku. Tinggal sahaja aku, tidak tahu di sudut yang mana satu aku mampu membalas walau sedikit jasa kalian berdua. Semoga kalian sentiasa berada dalam Redha Ilahi. Tidak dapat ku ungkapkan betapa hati ini rindu pada kalian. Tanpa titik peluh kalian , tidak ada aku di sini. Doakan anakmu ini kekal di landasan ini. Cukup sebak bila terkadang dalam riak muka seolah-olah terpaksa, kalian merelakan pemergianku menuntut ilmu, meluang waktu untuk ummah, secara langsung waktu bersama kalian terkorban bukan sedikit, Terima kasih kerana memahami kondisi anakmu ini. Doakan aku menjadi anak yang solehah untuk kalian. Untuk semua keluarga yang lain mohon maaf di atas setiap kesalahan dan keterlanjuran yang terkesan di hati antum.

Untuk semua Ustaz, ustazah, naqibah, guru-guru yang telah banyak mendidikku sehingga aku menjadi aku, terima kasih tidak terhingga. Buat insan-insan yang mengenalkan aku dengan tarbiyyah, syukran jazilan. Mohon maaf juga atas segala silap dan salah.

Untuk semua sahabat sahabiah seperjuangan tidak kira di mana kalian berada kini, setinggi-tinggi kemaafan kupohon kepada semua diatas segala-galanya. Ku sedar kelemahan dan kejahilan diri ini, sudah pasti banyak mengguris hati kalian , aku mohon dengan sangat kalian maafkan. Sekiranya ada yang perlu diperhitungkan bolehlah berhubung terus denganku. Kita cari titik perdamaian dalam langkah menuju Redha Allah.

Untuk yang terakhirnya, buat semua yang mengenali diri yang dhaif ini, mohon maaf diatas segalanya.

Ku mengharapkan ramadhan kali ini penuh makna. Salam Ramadham al Mubarak.




SrikandiMuda...

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha pengasih. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam, selawat dan salam keatas junjungan mulia Muhammad S.A.W.

Seinfiniti kesyukuran ku panjatkan kepada Rabbul Izzati diatas segala yang telah berlaku sepanjang aku berada dimedan ini. Cukup banyak mengajar. Terima Kasih yang tak terhingga kepada mereka yang mentarbiyyah ku di sini. Tidak dapat ku balas jasa antum. Mohon maaf diatas segala yang terguris dihati antum semua. Diri yang jahil ini perlukan terlalu banyak didikan lagi untuk berada lama bersama antum. Aku sedang belajar untuk itu. Pahit dan manis, semua ku terima sebagai tarbiyyah dari Allah.

“Anti Ok kah?”

(sambil tersenyum) “Ok. Jangan bimbang, ana dah biasa keadaan begini”.

“Betul kah? Ana cukup bimbang dengan Anti tadi. Kenapa berdiam diri?” (kening yang berkerut penuh kebimbangan)

“Anti jangan risau, ana Ok saja.”

“Anti perlu bersuara, ana mahu anti bersuara. Kadang-kadang ana keliru, anti perlu bersuara untuk rungkaikan kekusutan ana.”

Perbualan terhenti di situ.Dia bukan insan yang aku cari bila aku menghadapi masalah, bukan tempat aku luahkan segalanya. Dan bukan juga insan yang dah kenal lama denganku. Tapi dialah yang paling telus denganku. Dialah yang cuba memahamiku, walaupun agak sukar mungkin. Dialah juga insan yang hadir disisi di saat aku perlukan seseorang di sisi. Dia jugalah insan yang mempamerkan keinginan untuk tahu yang amat tinggi yang menjadi penguat untuk aku terus berkongsi dengan mereka. Masing-masing terlelap, mungkin desakan keletihan. Tapi, sebelum mataku terpejam sempat juga aku menjawab di dalam hati, “ana tak boleh zahirkan segala apa yang ana rasa pada sahabat sekalian, bimbang akan memadamkan semangat antum yang sedang berkobar-kobar.” Inilah semangat yang sekian lama aku impikan kalian tapilkan, mana mungkin ketika kalian pamerkan kepada semua, aku menyekat dengan riak muka yang lesu tanpa secebis semangat. Maka aku bertekad , walau apapun, aku perlu kelihatan bersemangat seiring dengan semangat yang kalian semua pamerkan. Apa yang aku rasa, dan yang aku fikirkan itu perkara kedua. Bait-bait amaran dari seorang sahabiah “jangan pamerkan perasaan anti ketika ini, jangan biar sahabat lain nampak! Nanti mereka rasa lemah.” Ya. Aku membenarkan di dalam hati.

Tulang Belakangku

Kepada sahabat seangkatanku, aku kagum dengan kalian semua. Teruskan mempamerkan semangat untuk terus terjun ke medan yang penuh onak duri ini. Pastikan semangat yang ada seiring dengan tindakan – tindakan yang bisa memukau setiap yang memerhatikan. Kalian berpotensi besar untuk itu. Sekarang bukan masanya kita mencari-cari kelemahan diri untuk kita jadikan asset untuk merendah diri dan menyekat segala tindakan. Segala kelemahan yang kita kesan, perlu dibaiki, perlu dicari penawarnya, bukan lagi untuk kita sebut-sebut. Sekarang aku berkeyakinan kalian sudah nampak apa yang berada dihadapan kita,. cabaran untuk mendaulatkan agama Allah di bumi kita berpijak kini sudah kalian maklum semuanya. Maka, sekarang masanya untuk kita semua memerah segala kekuatan dan kebolehan yang ada untuk disumbangkan dari segenap aspek yang kita mampu.jangan biarkan ada satu hari yang berlalu tanpa kita berfikir masalah ummah sekeliling kita. jangan pernah selesa bila kita mempunyai sedikit kelapangan masa. Jangan pernah rasa senang dengan gelak ketawa masyarakat sekitar. Ummah di luar sana memerlukan insan-insan yang menyampaikan risalah Allah Seperti kalian, seperti kita semua. Semangat yang ada, gunakan sebagai pemangkin untuk memacu gerakan yang lebih pantas dan tangkas. Ukhuwwah perlu kita semai dengan keprihatinan, bajai dengan pemahaman yang mendalam dan sirami dengan kasih sayang agar ia bukan lagi satu perencat tetapi satu pemangkin yang amat hebat untuk kita sama-sama mendepani 1001 cabaran dan rintangan yang mendatang. Kini aku yakin kalian mampu untuk memilih jalan dan kaedah masing-masing. Buat, fikir dan anggaplah apa sahaja, yang penting jangan pernah berhenti menitiskan keringat untuk perjuangan ini. Kini tidak perlu lagi rasanya aku keluarkan, statement demi statement, trademark2 dan apa sahaja hint2 untuk kita semua. Kini, masing-masing bebas dengan cara sendiri yang penting jangan pernah berhenti berfikir. mohon maaf andai selama ini kalian merasa ada keterikatan dengan cara ku, dan kini, silakan dengan cara masing-masing. Prestasi Kalian memuaskan hatiku. Allah kurniakan kalian menjadi tulang belakangku di sini. Thank you Allah.

Cukuplah Allah Bagiku

Benarlah, Imam Hasan Al- Banna berkata “Dalam perjuangan tidak ada sesiapa yang akan faham kondisi kita melainkan Allah”. Begitulah yang pernah diberitakan oleh seorang sahabat kepadaku. Agak sinis bunyinya. Amat pahit rasanya bila tiba satu saat yang tidak ada seorang sahabat pun yang memahami kondisi kita. Mungkin kita silap dalam mempamerkan tindakan demi tindakan. Walau apapun yang terdetik di hati, penawar paling mujarab untuk hati yang gersang, “ Cukuplah Allah Bagiku.” Salam perjuangan.


SrikandiMuda...


Tahajud Dari Perspektif Perubatan

Solat tahajud ialah ibadah yang kita lakukan pada malam hari,biasanya tengah malam atau lewat tengah malam. Solat tahajud juga dikenali juga sabagai shalatulail.Solat ini sangat baik dilakukan terutama kepada para pemimpin Islam kerana Rasulullah S.A.W dan para sahabat r.a tidak meninggalkan solat ini sepanjang hayat mereka, sebagai ibadah tambahan.
Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menggalakkan umat Islam mengerjakan solat tahajud sebagai ibadah tambahan pada waktu malam begitu juga terdapat beberapa hadis Nabi S.A.W. mengenai perkara ini.

TIDUR DAN SOLAT TAHAJUD

Umumnya manusia mengatakan tidur malam perlu antara enam hingga lapan jam sehari. Tetapi pendapat ini ditolak oleh para saintis Barat seperti Dr Ray Meddis,seorang profesor di Department of HumanSciences, England University of Technology yang mengatakan bahawa manusia sebenarnya perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.
Waktu tidur boleh dibahagi kepada dua bahagian - tidur ayam dan tidur lelap.Mimpi biasanya berlaku dalam tidur lelap (deep sleep). Manusia perlu berlatih untuk dapat tidur lelap kerana tidur ayam adalah masa berangan-angan yang membuang waktu sahaja. Tidur yang sebenarnya ialah ketika tidur lelap yang mengikut kajian saintis Barat ialah selam tiga jam.
Kita merasakan bahawa tidur malam kita selalu tidak cukup. Ini kerana kita tidak terlatih atau mengikut peraturan yang perlu diikuti ketika tidur. Apabila seseorang atlit hendak memasuki suatu pertandingan lumba lari dia akan berlatih hampir setahun sebelum perlumbaan itu bermula. Dengan demikian dia ada harapan untuk
memungut pingat emas. Demikian jugalah kita mesti melatih diri kita tidur mengikut peraturan.
Mengikut kajian ahli perubatan Barat, Sebelum kita merasa hendak tidur,mula-mula sekali kita akan merasa mengantuk (drowsiness ) di mana suhu badan kita akan menurun. Dengan mengatur waktutidur dan menggunakan jangkasuhu kita boleh latihkan diri kita untuk tidur bila perlu. Tidur yang diatur boleh menjimatkan masa kita dan membolehkan kita melakukan ibadah dan kerja-kerja lain.
Rasulullah S.A.W. telah memberikan contoh yang baik untuk tidur lengkap dengan doa-doanya. Bolehlah kita ringkaskan latihan untuk tidur malam seperti :

1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar. Jika kita makan malam yang banyak ianya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah bangun dari tidur, sudah tentu kita akan terlebih tidur pula.

2. Tunaikan solat Isya' sebelum tidur.

3. Bersihkan tempat tidur seperti tilam, bantal dan cadar dari habuk dan lain-lain kotoran.

4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur seperti yang diajarkan Rasulullah S.A.W.

5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk bulan pertama latihan; pada bula kedua kurangkan masa tidur malam kepada enam jam sehari, seterusnya pada bulan ketiga kepada lima jam sehingga kita boleh tidur untuk masa tiga jam sahaja.

Cara untuk kita tidur dan bangun juga mempunyai peraturan yang perlu diikuti untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan diri dari dihidapi pelbagai penyakit. Umpamanya kita yang suka bangun tidur melompat dari tidurnya boleh menghadapi risiko sakit jantung yang boleh membawa maut. Demikian menurut pendapat seorang doktor
dari China - Dr Huang Guoxiong dari Kolej Perubatan Lioning.
Di dalam Al-Quran ada menyebut segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur malam.
Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud : " Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dalam syurga dan dekat dengan air yang mengalir. Sambil mengambil apa yang diberi oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu
malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah." ( Surah az-Zariat ayat 15-18 )

IBADAH TENGAH MALAM DAN AWAL PAGI DALAM AGAMA LAIN.

Penulis pernah bertukar-tukar pendapat dengan guru-guru dan ketua agama yang bukan Islam seperti Buddha, Kristian, Tao,Confucious dan Sikh. Dalam perhatian penulis, mereka juga mengadakan amalan pada tengah malam seperti 'berzikir' dan membaca kitab suci agama mereka. Untuk mengelak dari rasa mengantuk, mereka
berlatih tidur hanya lebih kurang tiga jam atau empat jam sehari malah ada yang kurang dari itu. Antanra agama yang dimaksudkan itu ialah agama Buddha, Kristian,Tao,Confusies dan Sikh.

PENDAPAT AHLI SASTERA BARAT

Terdapat juga ahli sastera barat yang menceritakan mengenai kelebihan mengurangkan tidur untuk mencapai kerjaya yang cemerlang.

Bila ditanya apakah rahsia kejayaan mereka, mereka menjawab : " The woods are lovely, dark and deep but I have promises to keep and miles to go before I sleep."

Maksudnya " Taman itu indah, gelap dan tebal tetapi saya mempunyai temujanji yang mesti ditunaikan dahulu
sebelum saya tidur."

"The heights by great men reached and kept were not attained by sudden fight. But while their companions sleep were toiling upwards in the night." - Longfellow

Maksudnya " Pencapaian kerjaya yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak didapati serta merta tetapi mereka
bekerja keras sehingga larut malam pada waktu sahabat-sahabat mereka sedang nyenyak tidur. "

Ini jelas menunjukkan mereka meminimakan waktu tidur untuk mencapai kejayaan dalam hidup mereka.

Sekarang kita kembali kepada perbincangan solat tahajud. Apakah kebaikan dan kelebihan yang kita perolehi dari mengerjakan solat tahajud sedangkan ketika itulah manusia sedang nyenyak tidur.

Dari segi fikiran logik, kita tidak akan faham bahawa suruhan Allah itu mendatangkan kebaikan. Solat tahajud meneguhkan iman kita, jiwa kita, mental kita untuk menghadapi masalah hidup duniawi dan lain-lain lagi yang Allah Maha Mengetahui.
Dari segi sains perubatan pula, kita akan menyedut oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari dan menggerakkan otot-otot di dalam badan kita ke arah menyegarkan badan dan melicinkan gerak saliran darah. Kedua-dua oksigen dn gerak otot itu sangat penting dalam
memastikan kesihatan tubuh badan manusia. Oksigen itu hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit dan tidak datang lagi sehingga esok pagi. Hanya manusia yang bangun pada waktu ini dapat menikmati oksigen tersebut. Mereka yang bangun tidur lewat tidat merasa nikmat oksigen ini.





p/s Wahai Sahabat seangkatan,, mari kita sama-sama berlumba-lumba meningkatkan kekuatan kerohanian kita dengan mendekatkan diri pada yang maha Kuasa. sekarang bukan lagi masanya untuk kita berdiam diri menunggu dan mempersoalkan itu dan ini, sebaliknya kita lah yang perlu bertindak pantas dan bijak dalam mentarbiyyah diri sendiri. berjihadlah melawan hawa nafsu. mari kita berganding bahu, seiringan mencari Redha Ilahi. Semakin dekat kita dengan Ilahi, semakin kuat ujian yang menimpa. so, jangan pernah kalah dengan ujian kerana itulah tandanya Allah sayang pada kita. "Kita memandang segala yang datang merupakan tarbiyyah yang Allah turunkan kepada kita, cuma insan-insan yang berkaitan hanyalah perantaraan dan mediumnya sahaja. "

Pandang dengan mata hatimu nescaya, terbit ketenangan dalam hati atas dasar keyakinan tak berbelah bagi kepada Allah dan RasulNya.Abaikan semua bisikan Syaitan teruslah melangkah untuk Islam.. salam Jihad...
SrikandiMuda...

Category: | 0 Comments

Bila terjaga pada satu pagi, selesai urusan dengan Rabb, ana terpandang timbunan pakaian yang terlonggok di satu penjuru bilik ana. Inilah lumrahnya bila baru selesai berprogram. Dengan keadaan yang masih dalam keletihan, ana cukup tidak selesa bila bakul pakaian itu berisi dengan pakaian yang belum berbasuh. Biasanya, sebaik tiba bilik selepas program ana akan satlekan bab-bab cuci pakaian dan yang sewaktu dengannya, tapi kali ini, tuntutan tubuh yang mendesak untuk berehat terpaksa ana penuhi.Dalam kepenatan itu, ana gagahi mencapai baldi. Pada ketika itulah, terbayang perkhidmatan mesin basuh di bawah blok. Boleh saja ana hantar baju untuk dicuci, hanya masukkan syiling RM 2 tekan butang START kemudian datang sejam kemudian. Segala-galanya akan selesai tanpa perlukan tenaga yang banyak. Sementara itu, ana boleh meneruskan kerja-kerja lain atau paling kurang pun, melengkapkan proses berehat yang sememangnya belum cukup sebenarnya. Namun, akal ana pantas memintas idea yang terlintas, timbul persoalan dalam hati, “bukankah perjuangan memerlukan pengorbanan yang cukup sinonim dengan keperitan dan kepayahan?” mungkin ada pihak yang beranggapan perkara ini cukup remeh. Tapi, ana memandang berat kerana ini juga satu proses tarbiyyah diri. Daie yang memikul amanah berat untuk menyampaikan risalah Islam kepada semua, amat perlu bersedia untuk memandang segala sudut perkara dan peristiwa dari kaca mata tarbiyyah. Jangan asyik mengharapkan lajnah tarrbiyyah menyediakan perancangan-perancangan dan modul-modul Tarbiyyah, sedangkan kita tidak pernah bersedia untuk itu. Bila berlaku ketidakfahaman di kalangan kita, lajnah tarbiyyah di persoalkan. Kenapa tidak buat begitu? Kenapa tidak buat begini? Tapi kita, apa yang kita dah buat untuk memastikan diri kita betul-betul mendapat tarbiyyah secara optimum, bukan sahaja daripada perancangan lajnah tarbiyyah, malah tarbiyyah secara langsung daripada Allah kepada diri kita melalui keadaan yang harus kita hadapi dalam kehidupan seharian.Paling sedih lagi, bila perancangan yang rapi telah dibuat untuk menyediakan medan tarbiyyah kepada kita semua, berhempas pulas pihak berkenaan memerah idea untuk mematapkan perancangan dan pelaksanaan tarbiyyah. Tapi, respon dan kerjasama yang kita berikan setakat mana? Kalau dalam istilah yang biasa kita dengar, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Begitu juga keadaannya bila orang dah rancang cantik, tapi pelaksanaan gagal bila KITA TIDAK SEDIAKAN DIRI UNTUK DITARBIYYAH!!! Kita blame banyak tapi kita tidak melihat diri kita. Kalau dari sudut diri sendiri pun kita tidak mampu untuk kita disiplinkan, maka jangan pernah bermimpi kita akan dapat sepenuhnya apa yang orang rancang untuk kita. Setiap ahli gerakan perlu untuk memandang segenap aspek kehidupan adalah berbentuk pendidikan kepada diri. Daripada perkara kecil sekalipun, seperti susun selipar dan kasut di tempatnya, membasuh pinggan mangkuk selepas menggunakannya, datang perjumpaan pada waktunya, sehingga perkara melibatkan hubungan kita dengan al-Khaliq. Semua perkara ini perlu dititikberatkan sebagai medan tarbiyyah diri. Ana tidak memandang kita telah melahirkan output yang excellent jika hanya arif dari sudut gerak kerja tapi fail dari sudut pengurusan diri.
“Anti dah baca Quran tak hari ni? Ingat itu resolusi kita.”
“Belum. Tapi, di sini pun kan ada ayat Quran(sambil menunjukkan buku yang sedang dibaca), resolusi kita satu ayat sehari, jadi ana dah baca lah.”
“ukhti, kita buat kerja ni, mesti seperti nak hasilkan kek yang cantik”
“Ok, ok, boss”
Kedua-dua nya tersenyum.

Selepas ana mengeluarkan kenyataan “kek yang cantik” dengan sahabat-sahabat, responnya positif. Mereka menerima dangan terbuka. Sebenarnya malam itu, topik asal perbincangan adalah mengenai aurat muslimah,konsep melabuhkan tudung, berlanjutan kepada solat dan Ibadat. Ana membawakan analogi kek yang cantik kepada sahabat, akhirnya Allah kurniakan sedikit kefahaman kepada kami. “Apa pun yang kita buat, kita akan persembahkan kepada Allah. Jadi seperti membuat kek lah, kalau ana meminta antunna berikan kepada ana sebiji kek, antunna boleh bagi dalam keadaan kek biasa tanpa krim, hiasan dan sebagainya. Dan Antunna juga bebas untuk memberikan kepada ana sebiji kek yang cantik dengan hiasan yang menawan, dengan bentuk yang membangkitkan selera. Asalnya ana cuma minta antunna berikan ana sebiji kek tanpa meletakkan syarat untuk menghias dan sebagainya, tapi, bilamana antunna mempersembahkan sebiji kek yang cantik, dan sebiji kek yang biasa, yang mana ana akan ambil dulu, yang mana akan memuaskan hati ana? Antunna tahu jawapannya”
Dalam keadaan tadi melibatkan hubungan sesama manusia, apatah lagi hubungan dengan Allah?. Kita berhak untuk memilih untuk mempersembahkan ‘kek’ yang biasa atau ‘kek’ yang cantik, tetapi sepertimana usaha untuk menghasilkannya, begitu jugalah ganjarannya sudah pasti berbeza.
Kita tidak mungkin akan mampu sentiasa menghasilkan sesuatu kerja yang baik jika tidak ada disiplin dalam diri. Itulah dia Tarbiyyah. Sebab itu dari awal lagi ana menegaskan kita perlu menyediakan diri kita untuk ditarbiyyah samada dala perancangan atau tarbiyyah direct dari Rabbul Izzati.
Untuk Sahabat-sahabat seangkatan, mari kita menyucikan diri kita dengan konsep taubat, dan persiapkan diri untuk menerima segala bentuk ujian dan pendidikan yang bakal diberikan kepada kita tidak kira daripada siapa. Peluang hanya akan datang sekali, maka rebutlah, ambil input semaksima mungkin atas setiap peluang yang ada. Renungi sedalam-dalamnya amaran Allah dalam surah Al- Ma’idah ayat 54
“Wahai Orang- orang yang beriman, barangsiapa diantara kamu yang murtad, (keluar) dari agamaNya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum, Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya, dan bersikap lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman, tetapi bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah yang diberikan kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha halus (pemberian-Nya), maha mengetahui”


Sifat golongan mukmin zaman pemerintahan Rasulullah dan sahabat baginda, mereka menganggap perkara sunat seperti wajib dan perkara makruh seperti haram.
Kita?
Ya Allah, pandanglah dengan pandangan RahmatMU. Amin



SrikandiMuda...

Category: | 0 Comments