Subscribe RSS

Salam alaik... agak lama juga tak masukkan posting ke dalam blog ni.. kekangan masa ekoran minggu presentation bertembung dengan gerak kerja PRK,.. huhuhu.. tak dapat banyangkan sempitnya masa bila 6 presentation dalam seminggu. Present porjek pula tu. Alhamdulillah, semua dah satle. PRK pu dah selesai. Tahniah Pro M.. selamat mengatur strategi untuk mengisi kemenangan.

Post kali ni bukannya nak ceita pasal PRK, tp, atas memenuhi permintaan sahabat2 tercinta untuk menukilkan sesuatu tentang gerak XPDC raya kami yang lalu. Beberapa sms peringatan dari sahabat2 terpaksa diabaikan buat sementara waktu, dan kini, akan dihidangkan segala yang diinginkan. mungkin juga untuk tatapan sahabat2 yang tak dapat balik beraya bersama kami..

Malam tu, mesej kak tiya membuatkan saya terpaksa berfikir semula tetang perancangan raya. banyak mesej jemputan raya yang saya terima terpaksa saya balas dengan makluman yang saya tidak bercadang untuk ke mana2 sepanjang raya ni. This is the time for family.. tapi, bila membaca semula mesej kak tiya "Jom join XPDC raya muslimat PERISA & PSS raya ke tiga ni" huh.. saya baru juga mendapat mesej jemputan ke satu perjumpaan bersama Ust. Abdullah raya ke-2. nampaknya terpaksa ubah plan. melihat suasana raya di rumah, dan wajah2 family yg agak mengharukan untuk saya tinggalkan, agak sukar membuat keputusan. tambahan lagi cuti raya hanya seminggu. memang tidak cukup masa bersama family. Tapi, akhirnya rabitah hati bersama sahabat-sahabat amat kuat untuk memenuhi permintaan mereka. bila minta permission dari mak bapa, Alhamdulillah, seperti selalu. di izinkan.

Hari raya kedua tu, kami berjumpa dengan ust Abdullah. ramai juga sahabat2 yang hadir. cuma sedikit kekok sebab selalunya muslimat yang ramai, hari tu tiba-tiba pla ramai muslimin. huh.
Banyak perkongsian dan peringatan daripada ust Abdullah yang sangat terkesan di hati. rindu dengan suntikan tarbiyyah daripada ust banyak mengajar saya konsep-konsep asas dalam perjuangan.

Hari raya ke-3 kami meneruskan agenda XPDC raya kami bermula tapak pertemuan pertama di rumah emi (timb presiden 2 PERISA). XPDC kali ni kami memang dah mensasarkan rumah-rumah tertentu yang memang ada matlamat setiap satunya. He.


Lepas menikmati hidangan special udang galah, kami pun seramai 10 orang meneruskan XPDC ke rumah seterusnya..Rumah Akh Jumat.

"Siapa Ajk disiplin ? kena set masa 15 minit jak di sini" huhu terpaksa limitkan masa.. saya tidak ingat siapa yang mengeluarkan arahan tu. sebab semua pun saling ingatkan masa.. dan semua pun masing-masing melengahkan. hehe

next destination.. Rumah Akh Kamal bt 10.. "Tau ka rumahnya?" tanya kak jas, merangkap pemandu kami hari tu.. tak da suara yang menjawab pertanyaan tu... maksudnya, kena redah ja lah. huhu seperti yang dijangka.. sesat... terpaksa telefon tuan rumah tanya arah..jauh juga.. masuk ni da 3 kali kami sesat rumah.. huh ukhuwah???

sampai sampai jak, teruji kecekapan pemandu kami bila... parking salah part...









Akhirnya sampai.

sempat juga kami singgah rumah sahabiah Ukhti Rosni.. rindu dengan kak rosni, lama tak dapat berbual.. terkejut juga dia kami tiba-tiba menyerbu rumahnya.tak sempat nak maklumkan.. maaf kak rosni.
sasaran seterusnya rumah Cg wahid dan kak syamsi....



Next rumah Zu,...


Kami sempat berkunjung ke rumah Akh Shamsul tapi, tak da gambar... huhuhu


Second last rumah Akh Hendri...
Last sekali Rumah Dik Nur rahmah.. dah nk dekat maghrib masa tu... Alhamdulillah sempat jumpa ngan keluarga nur,salah satu agenda berjaya juga.



Bahagianya dapat beraya bersama Antunna semua..


moga ukhwah yang terjalin kekal selamanya...


Satu demi satu mesej yang masuk ke dalam inbox saya semasa dalam perjalanan pulang cukup meruntun hati...



Sampai di rumah.. huhu seperti yang dah di jangka.. mak bapa risau kelewatan anak kesayangan mereka balik.. kak tiya turun menyapa dan memberi sedikit penjelasan.. huhu mohon maaf mak ayah tercinta... kebimbanganmu menggambarkan besarnya kasihmu pada anakmu yang satu ni.. cam Chipsmore jak di rumah keja ada, kejap tak da.. mujur mereka memahami... Thank You Allah....

SrikandiMuda...

Category: , | 2 Comments

“Nanti, kalau masuk U, kamu tak perlu lah pakai tudung labuh bulat. Guna tudung bidang 60’ tu pun dah ok. ”

Ustaz yang mengenalkan saya dengan dunia tarbiyyah dan perjuangan ini memberi saranan. Terkedu juga saya seketika. Ketika itu ustaz menghantar kami pulang ke hostel selepas selesai satu majlis makan-makan di rumahnya. Saya sekadar menjawab persoalan ustaz dengan satu senyuman hambar. Penuh tanda tanya di hati, tapi tak berniat untuk menyuarakan pada ustaz. Bukan isu tudung labuh yang saya ingin ketengahkan, tetapi keperluan proses ADAPTASI dengan keadaan persekitaran baru amat perlu diteliti dan diamati.

Perubahan keadaan persekitaran cukup memberikan tekanan untuk kita mengatur langkah-langkah seterusnya. Macam kalau kita berada di tempat baru lah, agak kekok dengan keadaan sekeliling. Bukan semudah yang disangka. Itulah kesimpulan awal yang saya boleh nyatakan. Semasa program persediaan memasuki alam kampus dulu, saya cukup memandang ringan perkara ini. Tidak pernah tergambar akan ada kesulitan dalam proses beradaptasi dengan keadaan kampus, atau lebih khususnya, gerak kerja perjuangan di kampus. Bila ada sahabat yang menegaskan perkara ini, saya tidak dapat membaca maksud sebenar yang diperkatakan oleh mereka, apa yang susah sangat, yang penting kita faham kita perlu bergerak, untuk amar ma’ruf nahi mungkar. Then, tak kira dimana, bila dan bagaimana, semuanya bukan masalah. Itulah persepsi awal dan keyakinan saya ketika itu. Betul-betul no idea dengan amaran mereka mereka yang dah dulu merasainya.

Realiti Sebenar.

Bila kaki dah menjejak ke alam kampus yang sering diperkatakan sejak zaman sekolah lagi.. minggu-minggu pertama, agak selesa rasanya. Tak ada tekanan pun everythings ok. Tapi, bila dah mula berjinak-jinak dengan proses gerak kerja , tarbiyah dan dakwah di kampus, huh.. begini rupanya. Cukup berbeza dengan alam perjalanan perjuangan semasa di alam sekolah dan di tempat sendiri. Matlamat dan tujuan tetap sama, tak ada berubah sedikit pun. Tapi, cara, kaedah, dan persekitaran amat berbeza. Kesilapan membaca keadaan sekeliling boleh menyebabkan kita berasa sangat lemah. Tindakan yang diambil sudah pasti hilang arah,. Mengapa tidak, keadaan (waqie’) berbeza. Cukup menekan naluri. Mujur tidak bersendirian. Ada lagi sahabat-sahabat penguat semangat yang tidak jemu-jemu saling memberi ransangan positif.

Pernah sesekali terfikir, mampukah bertahan dengan keadaan begini. Tidak selesa dengan keadaan.

“Di sini, itu tak biasa,” “mana boleh begitu di sini”.. “orang lain tak boleh terima cara itu di sini”.

huh, jadi apa yang boleh??? Pernah juga akal yang tidak terpandu ini terfikir begitu. Pendek kata cukup janggal dengan keadaan baru ini.

Mereka pun sama.

Assalamualaikum, ” suara hambar seorang sahabat ketika menghubungi saya, dapat saya rasakan di awal perbualan lagi.

“Waalaikumsalam. Pa khabar? Lama tak dengar cerita. ” saya cuba bernada ceria.

“Free ka ni?”

“Free, ada apa ni? Macam ada benda serius nak bincang”

“Tak da lah. tak sabar nak balik Sandakan. Saya cadang nak buat program, …”

nada suaranya semakin bertenaga bercerita mengenai perancangan dan cadangan program pengisian cuti semester nanti. Saya lebih banyak mendengar. Tapi, saya yakin, mesti ada masalah yang ingin diceritakan disebalik perancangan demi perancangan begitu. Saya bukan tak kenal perangai dan sifat sahabat-sahabat, lebih-lebih lagi yang seorang ni, kenapa tidak, satu ketika dulu, kami makan sepinggan, tidur sebantal. bila dah mula bercerita banyak pasal nak balik kampung ni mesti kes ada problem di kampus.

“Mahira, tak sama lah suasana kampus dangan kita dulu-dulu” saya diam, memberi laluan untuk dia terus meluahkan isi hatinya.

“Sukar juga nak biasa dengan keadaan ni”

Agak berat dia nak meneruskan. Akhirnya saya faham apa yang ingin disampaikan.

“Memang macam tu lah. dah memang keadaan kita tak sama, persekitaran pun berbeza. Kita kena terima keadaan ni. Kena beradaptasi.”

Bukan mudah. Tapi perlu. Tulah saranan saya kepadanya. Sebenarnya jauh disudut hati mengatakan yang saya pun menghadapi keadaan yang hampir sama. Mujurlah memang pernah diingatkan awal-awal dulu untuk bersedia dengan perubahan persekitaran.

“Ukhuwah di sini tak sama lah dengan kita di sana”

satu lagi aduan dari seorang sahabat lain yang saya kenali dalam program.

“Walau macam mana pun tetap tak sama. Rindu dengan kamu semua. Lambatnya masa berlalu.”

Minda saya cepat mentafsir, mesti kes yang sama juga. Tak pa lah inilah proses belajar namanya. Kita kena belajar berhadapan dengan keaadaan baru. Teknik dan cara tak boleh silap. Tindakan perlu terpandu agar tidak tersilap dalam menghadapi suasana. Rupanya, mereka pun sama

Bijak Dalam Tindakan

Kita kena bijak dalam teknik beradaptasi dengan keadaan persekitaran yang baru. Bukan bermaksud kita kena patuh seratus peratus dengan keadaan. Tidak boleh melakukan perubahan. Keadaan tidak mengizinkan. Perkara ini lah yang biasa terjadi bila tidak ada proses memahami keadaan dalam beradaptasi. Pernah juga terdengar statement, kita yang perlu ikut keadaan, atau kita yang mencipta keadaan itu. Pertimbangan bijak perlu segera dilakukan, jika tidak kita bimbang emosi dan semangat kita terpengaruh dalam menghadapi isu-isu yang kurang disenangi. Dalam perjalanan kehidupan sebagai khalifah Allah, memang sentiasa akan berhadapan dengan keadaan-demi keadaaan yang menuntut kita untuk terus beradaptasi dalam pemikiran dan tindakan. Jika kita tidak fleksibel dalam hal ini, risiko untuk kita tinggalkan medan ini amat tinggi.

Samalah halnya bila mahasiswa ingin terjun ke dunia luar kampus. Inilah ilmu yang sangat perlu dipraktikkan. Meninggalkan alam ilmiah memang dugaan yang paling perit dalam kamus kehidupan seorang pelajar yang bercita-cita ingin terus bekerja untuk Islam. Terlalu banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi. Keadaan di luar sana sangat berbeza dengan yang dialami di alam kampus. Lantas persediaan yang rapi perlu dititik beratkan. Terutama sekali kepada mereka yang berada di minit-minit terakhir medan percaturan kampus. Terlalu banyak bukti yang sering diceritakan, penggerak dakwah di kampus ‘senyap’ selepas melangkah ke luar. Mereka yang agresif juga hilang line bila kembali ke kawasan masing-masing. Agak gerun juga bila diceritakan dan melihat sendiri perkara ini benar-benar terjadi. Terlintas di fikiran, selama mana diri ini mampu bertahan. Mampukah menghadapi cabaran dalam proses beradaptasi dengan keadaan baru nanti, sama seperti masa mula-mula mengenal selok belok medan kampus. Saya sendiri tidak berani untuk komen banyak tentang hal ini kerana, tidak tahu lagi apa cabaran dan dugaan yang akan dihadapi nanti. Semoga Allah memimpin langkah kita semua. Kemahiran berADAPTASI perlu dipelajari bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi hari mendatang. Sekadar lontaran.



SrikandiMuda...

Kak Fara baru tiba di rumah. Dia baru pulang dari rumah Tok Leha, berdekatan dengan jambatan tasik bekas lombong di hujung kampung. Dia membantu Tok Leha di situ secara sukarela untuk mengajar budak-budak kampung mengaji al-Quran dalam tempoh cuti semester pengajiannya di universiti.

Kak Fara nampak benar-benar kelelahan. Wajahnya dimamah lesu sehingga kelopak matanya terbuka layu. Bajunya lencun bermandi keringat. Kak Fara buru-buru masuk ke bilik, sejurus kemudian keluar semula membawa tuala mandi dan terus masuk ke dalam bilik air.

Burr! Burr!

Curahan air berdebur menimpa lantai betul-betul jelas di telinga adiknya, Farid yang berusia 15 tahun. Kak Fara mandi? Eh, bolehkah mandi pada waktu ini? Kak Fara tak takut kurang pahala puasa? Soalan-soalan itu menerjah kotak akal Farid.

Tiba-tiba emak muncul dari dalam biliknya. Dia terpinga-pinga sambil anak mata memanah pintu bilik air.

“Kakak engkau mandikah, Farid?” Soal emak sambil matanya membutang merenung Farid. Farid mengangkat bahu. “Apa kena kakak engkau ni? Kan makruh mandi siang-siang hari ni.” Emak mengomel sambil menapak ke bilik air. Dia berdiri betul-betul di hadapan pintu itu sambil tangan memalu keras.

Dum! Dum! Dum!

“Fara, kau mandikah?”

“Ya, mak,” jawab Kak Fara sambil terus menyiram tubuh. Kak Fara seperti dapat menerka apa yang berlegar-legar dalam fikiran emak. Selepas dua, tiga kali mencedok air, dia berhenti. Kak Fara tersembul di muka pintu dengan berkain batik dan tuala menutup tubuh.

“Yang kau mandi waktu dah nak dekat senja ni kenapa, Fara? Kan makruh. Tak takut batal puasa?” Emak bercekak pinggang. Dia memang pantang jika merasakan anak-anaknya berbuat sesuatu menyalahi dasar pegangan dan amalannya selama ini.

Kak Fara sekadar mengukir senyum. “Tak apa, mak. Tak batal puasa. Makruh pun tidak. Fara mandi sebab terlalu letih dan dahaga. Fara rasa badan ni kering saja. Lepas ni Fara nak goreng cempedak pula. Bila terkena bahang api, tentu lagi letih rasa badan ni. Jadi, Fara mandilah.” Kak Fara merenung emak, lalu memandang pula kepada Farid.

“Kalau termasuk air ke dalam telinga, bukankah akan terbatal puasa?” Balas emak.

“Tak batal, mak. Sesuatu perbuatan yang tidak disengajakan tidak akan batal.” Kak Fara menjawab yakin.

“Tapi, kak. Bukankah mandi selepas matahari sudah tinggi atas kepala itu hukumnya makruh?” Farid tidak puas hati.

“Boleh, dik. Tak makruh pun. Kurang pahala puasa pun tidak. Sebabnya, Rasulullah sendiri pernah mencurahkan air ke atas kepala baginda sewaktu bulan puasa lantaran terlalu haus dan panas. Tak ada ayat al-Quran atau hadis yang menyebut makruh atau kurang pahala puasa. Dik, Islam tu rasional. Kita boleh mandi untuk tujuan mengembalikan kesegaran dan mahu meneruskan pekerjaan lain. Mungkin jika tidak mandi, badan kita terlalu lesu dan hanya mahu terbaring. Islam itu tidak suka umatnya hanya terlantar di katil dalam keadaan lemah 24 jam!”

Kak Fara turut membacakan terjemahan hadis yang menyebut tentang keadaan Rasulullah mencurahkan air ke kepala baginda itu. “Abu Bakar bin Abdul Rahman meriwayatkan: Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: Aku melihat Rasulullah s.a.w di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik, Ahmad dan Abu Daud.”

Farid mengangguk-angguk mendengar penjelasan Kak Fara. Dia bertambah yakin setelah Kak Fara mengemukakan hadis. Sebab setahunya, hadis itu merupakan suatu hujah atau dalil yang kuat selepas al-Quran.

Farid menoleh melihat emak. Emak mendengus marah. “Setahu aku, memang tak boleh mandi bila matahari dah tegak atas kepala. Makruh! Bukan aku yang kata, tapi Ustaz Deraman yang kata. Dia orang alim yang kaya ilmu, tentulah kata-katanya itu betul. Yang kau ni, baru saja aku hantar ke universiti, dah berlagak pandai nak ubah macam-macam!” Emak memicit kepala seraya berlalu ke dapur.

Farid kembali bingung. Jawapan Kak Farakah yang betul, atau emak yang salah? Dia mencerlung kakaknya itu, menagih diuraikan kekeliruan yang berselirat.

Kak Fara seperti memahami erti tagihan pandangan Farid. “Dik, al-Quran dengan al-Sunnah atau hadis, yang mana lebih tinggi autoritinya?”

“Al-Quran.”

“Al-Sunnah, dengan maksud kata-kata Nabi, mana lebih tinggi kebolehpercayaannya berbanding kata-kata sahabat?”

“Kata-kata Nabi, kak.”

“Jadi, kata-kata Nabi dengan kata-kata ustaz biasa?” Kak Fara tersenyum. Farid juga turut mengulum senyum. Dia sudah mendapat jawapan.


***********************************************


Sahur itu satu rumah terlewat bangun. Berbaki 10 minit sebelum bermula waktu imsak. Emak hanya meneguk air kosong dan menjamah Kurma Maryami. Ayah pula sempat mengepal nasi sejuk lalu dikunyah dengan sedikit telur dadar semalam. Farid melihat Kak Fara mencapai pinggan, lalu disenduknya nasi putih sejuk bersama-sama dengan kuah asam pedas ikan pari. Farid mengikut telatah kakaknya meski dia tahu waktu imsak hampir tiba.

“Eh, yang kau berdua makan nasi ni kenapa? Dah tak sempat ni. Lagi 5 minit saja tinggal. Mana sempat nak habiskan nasi tu,” tegur emak. Ayah hanya mengerling sahaja sambil menghirup kopi pekat yang sempat dibancuh oleh emak.

Farid memandang Kak Fara. Kak Fara perasan itu. Sambil mengunyah, Kak Fara cuba menjelaskan. “Boleh, mak. Waktu imsak seperti yang tertulis dalam takwim solat tu hanyalah sebagai garis panduan agar kita sedar waktu sahur sudah hampir habis. Tapi yang sebetulnya, waktu sahur hanya akan tamat setelah masuknya subuh. Jadi, kita boleh makan selagi belum masuk waktu subuh, mak.”

“Apa kau merepek ni? Takwim tu kan dikeluarkan oleh orang yang ahli. Jangan kau nak memandai-mandai mengubah hukum,” marah emak.

“Saya tak merepek, mak. Saya juga tak mengubah hukum. Buktinya, Allah sendiri telah berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 187: Dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih daripada benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam. Di samping itu, baginda Nabi juga telah bersabda: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar. Kedua-dua dalil ini menunjukkan bahawa kita boleh makan dan minum selagi mana belum tibanya waktu fajar, iaitu subuh.” Kak Fara berhenti mengunyah.

“Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah juga pernah bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya, iaitu, boleh teruskan minum,” tambah Kak Fara.

“Ooo…” Ayah melopong mulut mendengar penjelasan Kak Fara. “Mah, ambilkan abang kuih seri muka dalam peti ais tu,” pinta ayah kepada emak. Emak mencuka memandang ayah. Tetapi dia memotong juga kuih seri muka dalam pelengat untuk ayah.

Kak Fara dan Farid saling berbalas senyuman.


***********************************************



Pintu bilik diketuk perlahan. Kak Fara memulas tombol pintu biliknya. Farid di muka pintu. Matanya kemerah-merahan dan sembab.

“Baru bangun tidur ya?” Kak Fara meneka. Farid angguk.

“Ada apa ni?”

“Nak tanya kakak. Boleh tak gosok gigi waktu tengah hari macam ni? Farid baru bangun tidur, nak sembahyang. Rasa tak sedap pula dalam mulut selepas bangun tidur.” Matanya masih terpisat-pisat dihurung sisa kantuk.

“Boleh, adikku. Rasulullah sendiri menggalakkan umatnya supaya bersiwak atau bersugi setiap kali hendak berwuduk, malah tidak terdapat larangan dalam al-Quran atau hadis tentang bersiwak pada bulan Ramadan. Jadi, memang bolehlah memberus gigi pada bila-bila masa, terutamanya ketika hendak berwuduk, dik.” Farid mengangguk perlahan mendengar penjelasan yang memuaskan hatinya.

“Islam itu mudah,” bisik hati kecilnya.

“Eh, dik. Lepas Asar temankan kakak pergi pekan sekejap ya. Nak beli ramuan bahan untuk buat kuih raya,” pinta Kak Fara.

“Okey. Kita pergi dengan kereta ayah ya, kak?”

Kak Fara mengangguk.

Seusai solat asar, mereka berdua ke pekan yang sedikit jauh dari kampung tempat tinggal mereka. Pekan berdekatan terlalu kecil dan tidak banyak barang-barang pilihan. Kebetulan, keadaan pekan pada waktu itu sangat sesak kerana bertembung dengan orang yang baru pulang dari pejabat. Mereka hanya sempat berbuka puasa di dalam kereta dengan Kurma Iran yang dibeli oleh Kak Fara.

“Dik, kita terus ke masjid ya,” unjur Kak Fara.

“Eh, kan kakak tak bawa telekung. Tak nak balik rumah dulu?”

“Tak payahlah. Dah lewat ni. Nanti terlepas pula waktu maghrib.” Kak Fara terus membelok ke kawasan masjid berdekatan.

Setelah berwuduk, Kak Fara pergi ke almari telekung di penjuru dalam masjid. Tidak ada. Semuanya sedang digunakan oleh para jemaah wanita yang hadir. Mereka sedang menunggu masuknya waktu Isyak untuk bersama-sama bersolat Isyak dan terawih berjemaah. Kak Fara lantas menyarung stokin bersih yang sering dibawa dalam beg tangannya. Pergelangan tangan dikancing dengan butang agar tidak terbuka. Kerongsang kecil dilekatkan di belakang tudung bidang 60 yang dipakainya supaya tudung itu tidak terselak dan melurut ke tengkuk ketika sujud. Dia lalu mengangkat takbiratul ihram.

Kelihatan banyak mata yang memandang aneh melihat Kak Fara bersolat tanpa telekung khas sembahyang. Dalam hati mereka, Kak Fara mungkin pengikut mazhab yang lain. Malah ada yang berfikiran, Kak Fara membawa bid’ah.

“Bolehkah sembahyang macam tu? Tak tutup sempurna,” bisik seorang wanita yang sudah lanjut usia.

“Entah. Nak sembahyang, mestilah pakai telekung sembahyang. Tak sah sembahyang dia tu,” bisik seorang yang lain.

Selesai berdoa, Kak Fara tiba-tiba dikuit oleh seorang wanita yang agak gempal dan hitam manis. Wanita itu bersalaman sambil tersenyum mesra.

“Anak dari mana?” Soalnya.

“Dari pekan tadi. Kebetulan, sesak pula di jalan. Tak sempat sampai di rumah. Ini pun cepat-cepat singgah sini nak sembahyang, takut terlepas maghrib.”

Wanita itu mengangguk.

“Maaflah, mak cik nak tanya. Kenapa sembahyang tak pakai telekung? Bolehkah macam tu?”

Kak Fara tersenyum. “Memang niat nak pakai telekung tadi, tapi semua dah habis dipakai. Saya pula tak bawa spare. Ya, boleh sembahyang tanpa telekung asalkan telah cukup syarat-syarat sahnya, termasuklah menutup aurat dan suci daripada hadas kecil dan besar.”

“Ooo…” Mulut wanita itu melopong mendengar penjelasan Kak Fara.

“Islam itu fleksibel, mak cik, iaitu kita tidak terikat pada adat atau budaya untuk melakukan ibadat. Contohnya, hukum bersolat itu adalah wajib kepada setiap orang, tapi Islam tidak menetapkan yang kita wajib memakai telekung sembahyang berwarna putih, hitam atau seumpamanya. Cuma, bila mana telah cukup syarat-syarat yang boleh menyebabkan solat itu sah, seperti telah menutup aurat dengan sempurna, maka teruslah bersembahyang. Kita tidak terikat pada telekung sembahyang, dan ia bukan syarat sah solat.” Kak Fara cuba meleraikan kekeliruan yang sememangnya dia tahu telah mendarah daging dalam masyarakat.

“Ya, betul tu. Orang kita selalunya bila keluar dari rumah berpakaian tak cukup kain, atau menutup aurat, tapi tidak sempurna, itu tidak dipandang salah. Tapi bila nampak orang lain menunaikan sembahyang tanpa telekung pun mahu dipersoalkan, sedangkan syarat untuk bersembahyang itu sudah sempurna.” Seorang gadis muda berwajah persih tiba-tiba mencelah. Wanita tua tadi hanya tersenyum, sedang di dalam hatinya merasa terpukul dengan ujaran gadis muda itu.

Kak Fara hanya menyepi. Dia tidak mahu menyakiti hati sesiapa dengan kata-katanya. Dia sekadar mahu berkongsi ilmu dan kefahaman yang telah dipelajari. Dia kemudian meminta diri untuk pulang.

Farid telah sedia menunggu dalam kereta. Dalam perjalanan pulang ke rumah, Kak Fara menceritakan situasi tadi kepada Farid. Farid juga tidak pernah terfikir akan hal itu. Selama ini memang dia menyangka bahawa ‘uniform’ solat itu wajib jika mahu bersembahyang.

“Baru Farid tahu…” Ujarnya.

“Itulah masyarakat kita hari ini. Mudah terikut-ikut dengan kata-kata orang, pantang menyalahi adat kebiasaan walaupun ketika nak beribadat. Sedangkan Islam itu mudah sahaja. Cuba kita tengok dalam bab nak bersembahyang juga. Kalau tak ada telekung, ada yang tak sembahyang. Sanggup qada’ di rumah sebab mentaliti mereka sendiri yang mewajibkan pemakaian telekung tu. Sedangkan dalam Islam tidak begitu. Cuma, jika ada telekung, sebaiknya gunalah telekung sebab ia lebih selesa dan menutup aurat dengan lebih sempurna pula.”

“Betul tu, kak. Baru Farid perasan macam mana keadaan masyarakat hari ni. Tapi, Farid tak tahulah macam mana nak ubah mentaliti mak tu.”

Kak Fara berpaling kepada Farid sambil menguntum senyum.

“Mm, mak tu kuat berpegang pada kata-kata orang yang dipandang tinggi dalam masyarakat, contohnya ustaz. Tapi ustaz pun kadang-kadang bukan semuanya ahli dalam semua bidang, khususnya zaman sekarang. Ada yang mahir bab usuluddin, tapi lemah bab fikah. Yang kuasai al-Quran, tapi kontang hadis, sedangkan al-Quran dan hadis tu saling lengkap-melengkapi.” Kak Fara diam sejurus. “Sesekali, Farid bukalah kuliah-kuliah ilmu kat tv tu. Halaqah atau al-Kuliyyah bagus juga. Ustaz-ustaz yang dijemput lazimnya mempunyai ilmu yang diperakui. Biar mak dengar. Moga-moga pemikirannya berubah.”

“Betul juga tu. Kadang-kadang ustaz yang selalu dijemput kat surau kampung kita tu terlalu konservatif, sehinggakan perkara adat pun sudah dianggap syariat. Farid dah menilai semua tu bila dengar hujah kakak,” balas Farid sambil memandang kosong kenderaan-kenderaan yang bertali arus.

“Perkara yang dah menjadi adat kebiasaan ni memanglah tak boleh diubah dalam sehari dua, dik. Perlahan-lahan. Step by step kata orang putih. Kena bersabar dan hati-hati kalau nak tarik rambut dalam tepung,” ujar Kak Fara sambil meneruskan pemanduan.

Farid diam. Dia terus meladeni kata-kata kakaknya itu. Ada kobaran semangat yang mengasak hati. Ada pancang tekad mulai tercacak padu.



TAMAT

sumber: http://www.diariungu.blogspot.com/

SrikandiMuda...

Category: | 0 Comments