Subscribe RSS


Dengan Nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih. Selawat dan salam keatas junjungan mulia Rasulullah s.a.w para sahabat dan keluarga baginda. Segala puji bagi Allah, than yang berkuasa atas tiap sesuatu. Atas rahmatNya, kita masih dipinjamkan usia untuk meneruskan langkahdi bumi fana ini. Terbaca, komen-komen dari pembaca diblog BADAR, pendakwah cuti. Agak kelakar juga bila di fakir-fikir. Adakah istilah cuti dalam kamus hidup seorang pendakwah? Tidak boleh salahkan pembaca, kerana mereka tidak tahu, apa yang berlaku di sebalik senyapnya blog BADAR dan saff pimpinannya. Yang pembaca tahu, blog tidak di update semasa cuti, kesimpulan mudah, pendakwah bercuti. Juga tidak boleh menyalahkan moderator blog, kerana semua ada sebab kenapa senyap. Pendeknya, Semua pihak perlu bersangka baik. Pasti ramai yang tak puas hati dengan kenyataan pengerusi HELWANI kali ini. “Nak membela diri la tu.” Pendapat dan pandangan hak individu, anda semua berhak menilai dan membuat kesimpulan, tetapi di peringkat saya, saya yakin pimpinan BADAR ada sebab masing-masing kenapa blog BADAR khususnya tidak di update sepanjang cuti semester.

Walaupun begitu, saya ingin mengingatkan kepada seluruh saff kepimpinan BADAR agar memandang setiap kritikan dan pandangan daripada semua pihak sebagai sesuatu yang positif. Komen-komen inilah yang membuktikan bahawa orang di luar sana, khususnya masyarakat kampus prihatin dengan perkembangan terkini BADAR. Dan inilah yang menjadi peniup semangat untuk kita teruskan langkah untuk meneruskan kerja amar ma’ruf nahi mungkar di kampus melalui wadah Badan Dakwah Dan Kerohanian.

Sebagai pembuka bicara HELWANI BADAR untuk semester baru dan tahun baru ini, belum terlewat rasanya untuk saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru 1430 hijrah dan 2009 Masihi. Selamat memulakan semester baru kepada seluruh warga kampus. Semoga semester ini menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita semua dari segala aspek kehidupan.

Mengimbau kembali peristiwa hijrah Insan Agung Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda 1430 tahun yang lalu, terselit 1001 pengajaran yang cukup menginsafkan kita sebagai ummat Muhammad s.a.w. Salah satu ibrah yang ingin saya gariskan di sini ialah, persaudaraan antara kaum muhajirin dan ansar. Ketibaan baginda ke Madinah juga menjadi titik akhir kepada pertelingkahan antara puak Aus dan Khazraj di Yathrib ketika itu. Sebagai mengambil pengajaran, saya ingin mengajak kita semua untuk mengambil tahun baru ini untuk menjadi titik mula kita mengharmonikan lagi ikatan persaudaraan kita semua diatas satu akidah yang sama. Mari kita akhiri segala pertelingkahan, prasangka-prasangka buruk, dan pandangan-pandangan sinis sesama kita. Kita buktikan kepada semua bahawa kita punya satu ikatan yang bukan mudah untuk diperlekehkan. Pada hemat saya, sekarang bukan lagi masanya untuk kita bertelingkah sesama kita, hanya kerana perkara-perkara kecil yang kita boleh selesaikan secara baik. Kita perlu sedar, di luar sana ada pihak yang besorak riang menyaksikan pertentangan kita sesama sendiri. Mari kita berganding bahu, kita kembalikan kedaulatan ISLAM. Dengan hormatnya, saya mewakili seluru warga BADAR menyusun 10 jari, merakamkan ucapan maaf kepada semua pihak sekiranya ada sebarang perkara yang tidak menyenangkan selama BADAR bertapak di UMSKAL ini. Kami dengan terbuka menerima setiap cadangan dan pandangan selagi tidak bertentangan dengan syariat pencipta. Saya juga berkeyakinan seluruh saff kepimpinan BADAR mempunyai satu hasrat yang sama dalam misi kami pada kepimpinan kali ini, memasyarakatkan BADAR. Pihak kami juga telah merancang beberapa program khas untuk seluruh masyarakat kampus dalam rangka merealisasikan misi BADAR ini. Kami amat mengharapkan sokongan padu daripada semua pihak khususnya, pensyarah, pihak pentadbiran, mahasiswa dan seluruh warga kampus. Akhir kalam, salam mahabbah, salam ukhuwah fillah.

Pena Pengerusi HELWANI



SrikandiMuda...

Category: | 0 Comments

0 comments to “Pembuka Bicara Pengerusi HELWANI”