Subscribe RSS

Bagi saya, menulis bererti kemuncak percambahan minda. Berfikir tentang ummah lalu diterjemahkan dalam penulisan. Lantas saya ajukan soalan kepada diri sendiri, lama tak menulis adakah bemakna , berhenti berfikir tentang ummah ini? mudah-mudahan tidak begitu. Lalu, tidak dapat tidak setinggi-tinggi permohonan maaf kepada semua pengunjung yang berkunjung tapi gagal mendapatkan sesuatu di ruangan ini. Tiada alasan yang ingin saya nyatakan, melainkan mengakui kelemahan diri menguruskan aktiviti yang dilalui. Semoga Allah mengampuni setiap kecuaian kita semua.


Koreksi, Meneliti Potensi Diri...

"Nak tau tak, ana dulu pemidato sekolah."
"Iya?" sahabat saya bernada sedikit hairan. Seolah-olah tidak mahu percaya. Sekadar senyuman saya lontarkan untuk menjawab kehairanan sahabat saya.
"Patutlah meng'ayat' power" Saya tidak tahu itu pujian atau sindirian. Sekali lagi saya tersenyum.
Saya tidak berapa gemar menceritakan zaman-zaman menjadi pemidato dulu. mungkin terkilan kerana zaman itu telah berlalu, dan tidak diteruskan di alam kampus. Pidato memang minat saya, dan memang di dalam usrah awal dahulu, memang ditekankan kemahiran pidato dan teknik bercakap dengan masyarakat. Saya teringat murabbi di alam sekolah dulu, ustaz Abdullah, seringkali menekankan, untuk mengasah potensi bersyarah. Saya faham tujuan dan 'goal' ustaz pada ketika itu.

"Kenapa tak teruskan di sini?" Soal sahabat saya yang lain. Saya memilih untuk tidak menjawab soalan ini. Biarlah dahulu. Kadang-kadang saya menjawab, "Dah besar, malu dah nak berhadapan audiens." Seringkas itu, dan mungkin hanya sahabat-sahabat rapat yang tahu sebab majornya.

Bila tiba masa untuk koreksi diri, tiba-tba saya teringat dengan potensi diri. Kemahiran bercakap tidak diberikan kepada semua orang. Ramai yang ada keinginan, tapi agak sedikit yang memang berpotensi. Itu kurniaan, bonus daripada Pencipta. Potensi yang sepatutnya diguna sepenuhnya untuk dakwah ini, adakah saya menguburkannya. Saya perlu bermuhasabah untuk masa-masa yang akan datang. Saya kongsikan di sini, tiada tujuan lain melainkan ingin mengajak adik-adik, sahabat-sahabat untuk koreksi semula semua potensi diri yang Allah kurniakan kepada kita, untuk kita gunakan untuk jalan menyeru kepadaNYA.

Jangan biarkan tarbiyyah atau pendidikan yang kita perolehi mengubah kita 100% daripada diri kita yang sebelum ini. Kerana, sebelum ini, kita bukan tidak betul pada keseluruhannya. mungkin hanya pada kefahaman tentang ibadah, atau kekurangan ilmu bab syariat Islam., atau sedikit keliru hukum hakam. Semuanya memang perlu dibaiki, dan ada yang melanggar syariat, perlu kita tukarkan, cuma, tarbiyah ini bukan untuk mengubah diri kita kepada seorang yang lain sepenuhnya. Agak rugi jika potensi asal kita turut kita kuburkan dengan semua perubahan diri yang kita ingin lakukan yang kononnya hasil daripada tarbiyah yang kita perolehi kini.

Ya, memang ada yang perlu kita ubah, contohnya pakaian yang tidak menutup aurat sepenuhnya, kita sempurnakan seperti garisan Syariat Ilahi. Tapi, ada potensi yang hanya perlu pemurnian, tidak perlu ditinggalkan, jika kita murnikan sedikit, ianya menjadi aset besar untuk ISLAM. Inilah yang tarbiyah kita mahukan.

Contohnya, seorang ahli sukan yang aktif, misalnya dalam bola jaring. Sebelum ini memang pemain hebat dan disegani. Tiba-tiba mengambil keputusan untuk 'bersara' dengan alasan, tarbiyah menegah suasana bersukan dengan melompat sana sini, jerit-jerit dan tidak dapat berpakaian menutup aurat sempurna. Ya memang benar, sebab itu saya katakan pada permulaan tadi, hanya perlukan pemurnian. tidak perlu ditinggalkan. Islam tidak seberat yang kita cuba gambarkan. Teruskan menjadi juara di gelanggang bola jaring, sekaligus anda juga menjadi juara di medan dakwah. Corak lah suasana di gelanggang supaya selari dengan tarbiyah yang diperolehi, bukan meninggalkan gelanggang, lantas siapa yang ingin sampaikan dakwah di sana?

Contoh kedua, seorang yang gila hiburan, artis dan pemain gitar hebat. dikagumi rakan-rakan sepentas. Tak kira lah di alam sekolah, IPT atau di mana-mana. adakah mendapat tarbiyah, lantas perlu berubah menjadi 'budak masjid' dan meninggalkan POTENSI diri yang ada? Perlu berubah mengenakan kopiah, dan hanya berkumpul dengan sahabat-sahabat satu tarbiyah. Dunia hiburan kini, sungguh kritikal. Remaja cukup sinonim dengan hiburan dan cukup tertarik kepadanya. Lantas, boleh sahaja diperhalusi, bakat dan POTENSI yang ada, pemurnian sedikit sekali lagi ia akan menjadi ASET dakwah.

Saya kira cukup jelas maksud yang saya ingin sampaikan, Tarbiyah kita bukan untuk membunuh segala POTENSI diri yang ada, kita asah dan murnikan untuk memberikan keuntungan berganda kepada dakwah kita. Sama-sama kita koreksi meneliti potensi diri.


Potensi Tersendiri

Setiap kita mempunyai potensi tersendiri. Ada rungutan di kalangan adik usrah saya, bila saya menekankan kemahiran berkomunikasi"Dia memang pandai bercakap, sebab tu dia boleh bentang dengan baik". Saya tersenyum. Ya, memang ada yang diberi kelebihan komunikasi, tapi pasti dia ada kekurangan di bahagian lain.

"Dia ada pengalaman akak, memanglah" lantas kumpul dan kutiplah pengalaman. masing-masing ada potensi tersendiri, dan anda yang lebih tahu, potensi anda di mana. Dan pasti potensi itu jika diasah dengan baik, dimurnikan kaedahnya, dijernihkan niatnya, akan menjadi sesuatu yang amat berharga untuk kita, orang di sekeliling, dan lebih bermakna untuk Islam khususnya.

Jangan pernah ada perasaan yang merendahkan diri sehingga merasakan tidak mampu berbuat apa-apa. dan memencilkan diri sedangkan ada bahagian lain yang kita sebenarnya jauh lebih baik, dan sangat diperlukan.

Misalnya dalam gerak kerja program, AJK pengisian selalu di nyatakan sebagai ajk yang paling penting, nadi program, dan jika hancur pengisian, maka rosaklah objek tif program. Lantas ahli-ahli dalam team pengisian mestilah para 'think tanker', yang mempunyai idea-idea bernas dan kita tidak punya potensi itu. Tapi, bab teknikal, wirering, semuanya mudah. Itulah potensi kita. jika kita tak ada juga, program akan lompang. semua kita perlu sedari keadaan itu.

Posisi Kita berbeza, saling melengkapi..

Setelah menyedari setiap insan walau siapa pun dia, pasti punyai potensi tersendiri. Maka, sudah pasti posisi kita akan berbeza. di situlah proses saling melengkapi menjadi indah. tidak kira lah di mana pun, dalam kehidupan rumah tangga, dalam organisasi, dalam Pasukan projek, proses saling melengkapi inilah yang akan memberikan kita enegri untuk terus maju dengan laju dan bermutu. Seperti halnya batu bata sebuah bangunan, atau kepingan-kepingan puzzle atau apa sahaja perumpamaan yang berkaiatan, begitulah kita. Praktikkan dalam kehidupan organisasi dakwah, dengan pasak akidah yang sama, sulaman ukhuwah yang indah dan perbezaan unik yang mencabar, kepelbagaian yang mendorong kita saling melengkapi.


Lantas, sahabat-sahabat, adik-adik dan semua yang membaca, mari kita koreksi diri, muhasabah potensi kita, potensi orang-orang di sekeliling kita, sama-sama kita tempatkan diri di posisi masing-masing. Kemudian saling melengkapilah ke arah tujuan dan matlamat yang sama. Semoga kita semua di berkati ILAHI.

Ambil masa, beritahu orang-orang penting dalam hidup kita, "You Complete Me".
Salam Perjuangan.

SrikandiMuda...

Category: , | 0 Comments

0 comments to “POTENSI kita tak sama, POSISI kita berbeza...”