Subscribe RSS



Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan. Amatlah besar kurniaMu Ya rabb, ada lagi kesempatan untuk aku merasa nikmat berada di bulan mulia ini. Tidak dapat aku ungkapkan kesyukuranku kepadaMu. Seperti selalu di ambang Ramadhan, aku dan juga pastinya kalian dan insan lain di luar sana yang masih ada secebis nur dalam hati nya pasti akan memasang azam yang tinggi untuk tingkatkan Ibadah kepada Allah. Untuk dekatkan diri pada Allah yang Maha berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Sifat harus bagi Allah, Yakni, DIA berhak untuk mengadakan dan meniadakan sesuatu. Ya Allah, aku ini hamba lemah, pandang daku dengan pandangan rahmatMu.

Cukup terkesan malam ini, baru kini aku rasakan ada sedikit waktu untuk aku menghitung diri sepanjang perjalanan beberapa tempoh masa di bumiNya. Selama ini seringkali bercampur baur muhasabahku dengan kesibukan tugasan harian dan program-program yang berlanjutan. Tidak terasa semakin hampir detik yang aku nanti-nanti, kedatangan Ramadhan. Walaupun ini adalah Ramadhan ke-2 aku tidak bersahur yang pertama bersama keluarga, Ibu Bapa tercinta. Mungkin bagi insan lain, itu lumrah, lebih-lebih lagi hakikat zaman belajar jauh, memang itulah lumrahnya. Tapi tidak bagiku dan keluargaku. Memang sudah kebiasaan sahur pertama kami sekeluarga akan berkumpul,. Jika tidak dapat, samalah seperti raya pertama tidak bersama keluarga. Bagiku, tak mengapa, tapi, sebak juga bila semakin hampir ramadhan, semakin kerap insan-insan kesayanganku di kampung menghubungiku dan bertanyakan soalan yang sama setiap ketika, Ramadhan ni, balik tak. Walaupun mereka tahu jawapanku tetap sama, tak boleh balik. Ramadhan ini amat terkesan bagiku. Pertama kali merasakan kehidupan Ramadhan di kampus tahun lalu amat tidak kusenangi. Kehidupan terlalu sibuk. Dengan assignment yang perlu disiapkan, dengan exam, dan macam-macam lagi kesibukan yang mencalar masa privateku bersamaNya. Aku tidak kisah jika hari-hari biasa. Tapi tidak ketika Ramadhan. Bagiku, sebulan ini, tumpuan itu untukNya. Bukan bermaksud bulan lain tidak tapi ramadhan cukup istimewa. Aku sangat rindukan Ramadhan zaman sekolah dulu. Cukup banyak waktu untukNya. Tinggal di asrama, saling berusaha mengkhatamkan Al-quran,jalan beramai-ramai ke masjid, tarawih setiap malam, dan beramai-ramai datang qiamullail berjemaah di masjid sekolah di sepuluh malam terakhir Ramadhan, Tadarus tiap selesai witir, dan majlis Khatam Quran di malam-malam terakhir Ramadhan sebelum pulang ke Kampung. Ya Allah, indahnya saat itu. Kini, di alam Kampus, amat payah untuk wujudkan suasana sebegitu. Memang keadaan berbeza, Cuma yang kukesali, tinggal berapa hari lagi Ramadhan, seolah-olah tidak ada persediaan langsung yang dipamerkan oleh masyarakat kampus. Bagi Adik-adik yang belum lagi menjejak ke alam kampus, yang masih berkesempatan merasa suasana alam persekolahan, hargai saat itu, tidak akan berulang lagi.

Kita Perlu Berbeza.

Sahabat-sahabatku, kita perlu berbeza. Buatlah persediaan terutama sekali dari sudut spiritual kita. Bersihkan segala karat-karat dalam hati kita, moga Ramadhan kali ini, ada kesempatan untuk kita menyucikan semula hati kita yang telah dicemari noda dunia. Moga di hujung Ramadhan nanti kita boleh merasakan ketenangan hati hasil usaha kita mengikis segala mazmumah yang bersarang di hati. Mohon dengan sangat kepada Tuhan sekalian alam, agar dilembutkan hati kita untuk terus ditarbiyyah.
Tanamkan Azam dari sekarang. Jangan biarkan ramadhan berlalu begitu sahaja, kerana kita tidak tahu, adakah sempat untuk merasa kehidupan di Ramadhan seterusnya. Saling mengingatkan antara satu dengan yang lain. Ku mohon jasa baik sahabat-sahabat, ingatkan aku bila terlupa, tegur aku bila tersilap. Mari kita sama-sama susun barisan sama-sama menuju mardhatillah.

Sebelum Terlewat

Aku memohon ampun kepadaMu Ya Rabb. Terlalu banyak dosa yang telah ku lakukan. Terlalu banyak perintahmu yang ku ingkari. Ampunkan dosa hambaMu ini. Berilah aku cahaya Iman yang tidak akan malap hingga ke hembusan nafasku yang terakhir. Insan agung Muhammad S.A.W, Syafaatkan aku ya Rasulullah. Ummatmu ini semakin jauh dari landasan yang telah engkau ajarkan. Terlalu jahil dengan ilmu yang engkau sampaikan. Moga ada kesempatan untuk kita bersua di ‘SANA’. Pengorbananmu tidak mampu untuk aku gambarkan apatah lagi untuk kuulangi melainkan hanya secebis.

Buat Kedua Ibu Bapa tercinta, ampunkan dosa anakmu ini. Segala yang terbaik telah kalian persembahkan untuk ku. Tinggal sahaja aku, tidak tahu di sudut yang mana satu aku mampu membalas walau sedikit jasa kalian berdua. Semoga kalian sentiasa berada dalam Redha Ilahi. Tidak dapat ku ungkapkan betapa hati ini rindu pada kalian. Tanpa titik peluh kalian , tidak ada aku di sini. Doakan anakmu ini kekal di landasan ini. Cukup sebak bila terkadang dalam riak muka seolah-olah terpaksa, kalian merelakan pemergianku menuntut ilmu, meluang waktu untuk ummah, secara langsung waktu bersama kalian terkorban bukan sedikit, Terima kasih kerana memahami kondisi anakmu ini. Doakan aku menjadi anak yang solehah untuk kalian. Untuk semua keluarga yang lain mohon maaf di atas setiap kesalahan dan keterlanjuran yang terkesan di hati antum.

Untuk semua Ustaz, ustazah, naqibah, guru-guru yang telah banyak mendidikku sehingga aku menjadi aku, terima kasih tidak terhingga. Buat insan-insan yang mengenalkan aku dengan tarbiyyah, syukran jazilan. Mohon maaf juga atas segala silap dan salah.

Untuk semua sahabat sahabiah seperjuangan tidak kira di mana kalian berada kini, setinggi-tinggi kemaafan kupohon kepada semua diatas segala-galanya. Ku sedar kelemahan dan kejahilan diri ini, sudah pasti banyak mengguris hati kalian , aku mohon dengan sangat kalian maafkan. Sekiranya ada yang perlu diperhitungkan bolehlah berhubung terus denganku. Kita cari titik perdamaian dalam langkah menuju Redha Allah.

Untuk yang terakhirnya, buat semua yang mengenali diri yang dhaif ini, mohon maaf diatas segalanya.

Ku mengharapkan ramadhan kali ini penuh makna. Salam Ramadham al Mubarak.




SrikandiMuda...

0 comments to “Ramadhan Menjelang Lagi”