Subscribe RSS

“Semua makanan untuk program kali ni kita akan tempah” kata Ustaz kepada saya semasa saya bertemunya untuk berbincang tentang persediaan program kepimpinan pelajar yang dianjurkan di sekolah tempat saya mendapat sentuhan tarbiyah sekitar tahun 2005 ketika itu.

“Kita tak masak sendiri ustaz?” Tanya saya, perlukan kepastian.

Bukan apa, bagi saya kami dah biasa berprogram dengan kapasiti peserta dan pelaksana yang sama, dan biasanya pihak jawatankuasa pelaksana sendiri yang menyediakan makanan untuk keseluruhan yang hadir pada program yang mengambil masa dalam 3 hari 2 malam tersebut kerana ingin menjimatkan budget program. Maklum lah program-program pembinaan sahsiah seperti ini, biasanya tidak ditaja dan jarang sekali mempunyai kewangan yang mencukupi. Kadang-kadang ketika itu saya tertanya-tanya juga, kenapalah susah benar nak dapatkan syarikat, agensi kerajaan mahupun swasta ataupun para hartawan yang dermawan yang sudi menaja program-program yang sungguh didahagakan oleh generasi remaja kini, tapi kini, saya semakin mengerti tentang hal ini.

Program kali ini, saya sedikit kurang setuju jika makanan ditempah kerana ia melibatkan perbelanjaan yang bukan sedikit. Walaupun kali ini kami mendapat tajaan sepenuhnya daripada pihak sekolah atas anjuran Persatuan Pelajar Islam(PERPIS) SMK Elopura Bestari, atas budi baik tuan pengetua En. Sani Sahwi yang pada ketika itu cukup memberikan sokongan padu terhadap kami, namun bagi saya budget tersebut boleh dijimatkan untuk menampung keperluan lain, sekurang-kurangnya ada sedikit asset untuk program seterusnya dalam menyambung hayat Persatuan Remaja Islam Sandakan (PERISA) yang baru setahun jagung ketika itu.

“Saya nak jimatkan tenaga yang digunakan oleh pelaksana program” ujar ustaz ringkas.

Tanpa kata-kata, dahi saya berkerut dan hati mula bermonolog,

Bukan sebelum ini pun sama juga? Kami juga yang kena masak, dan tenaga dari saff yang sama juga yang akan gerakkan program kali ini. Seingat saya, tidak ada dalam kalangan kami, yang pernah mengadu tentang ketidakmampuan menampung tugasan tersebut”

Perkara inilah yang amat saya kagumi dengan semua sahabat seangkatan ketika itu yang kebanyakannya saya kenali dengan lebih dekat melalui program-program seumpama ini.

Ustaz yang melihat kerutan di dahi saya menjelaskan akhirnya,

“Sedaya mungkin saya ingin kurangkan keletihan kamu semua. Tidak berkualiti proram ini bila penggeraknya terutama sekalai fasilitator yang menjadi nadi objektif program, letih dan tidak bermaya sepanjang program. Tidak ceria.” Ustaz berhenti seketika memandang saya. Lalu dia menyambung satu ayat yang tidak pernah saya lupakan samapi sekarang

“Badan yang terlalu letih dan muka yang tidak ceria, akan merugikan dakwah”. Ketika itu sebenarnya saya tidak dapat fahami sangat apa maksud penuh daripada penjelasan ustaz, Cuma akur saja dengan perancangan dan arahan tersebut. Program itu akhirnya berlangsung dengan lancar, pujian hanya kepada Allah.

Baru Mengerti

Semalaman tidak sempat melelapkan mata, ada perkara penting yang perlu saya bincang dan selesaikan dengan saff seangkatan yang selalu digelar sayap kiri perjuangan ini. Usai Solat subuh dan menyelesaikan urusan dengan Pencipta, masing-masing cuba melelapkan mata seketika.

“Siapa yang tukang kejut ni?” Sempat saya bertanya sebelum masuk ke bilik. Bimbang semua terlelap lama, ada perjumpaan penting jam 9 pagi nanti. Sempat cik Tarbiyah menjawab,

Ana, InsyaAllah” saya hanya membalas dengan senyuman dan berlalu ke masuk ke bilik saya.

Perjumpaan hari tu bermula lewat sedikit atas permintaan semua dan berlanjutan hingga waktu zohor. Tidak habis, dan ada lagi beberapa perkara yang perlu diselesaikan. Selepas Zohor, tidak dapat menyambung diskusi tersebut kerana ada hal tertangguh yang perlu diselesaikan diluar kampus. Lantas, saya bersama 3 orang lagi tulang belakang saya, bergerak keluar. Sekembali ke kampus, dalam perjalanan, adik Usrah saya mesej,

“Akak di mana?”

Saya tersentak, baru teringat, rupanya ada usrah petang ni. Saya terlupa. Dan saya yakin adik-adik sudah sedia menanti saya.

“Akak di luar ni, kita start pukul 5 pm boleh ya?”

“Ok =)” balas adik tersebut. Usai solat asar, sesi usrah diteruskan. Saya ketepikan niat asal ingin mengisi perut yang kosong tidak diisi semenjak pagi tadi.

Alhamdulillah, majlis ilmu tersebut berjalan seperti biasa, walaupun pada permulaannya saya berterus terang dengan adik-adik tentang keadaan yang kurang stabil dek kurang sedia kali ni. Mereka senyum dan respon yang aktif daripada semua mengubat keletihan seharian. Selesai majlis tersebut, azan maghrib berkumandang.

Selesai solat maghrib, setelah mengambil masa seketika, mengisi perut di cafeteria, saya ke masjid dan menyelesaikan solat Isyak. Selepas itu terlelap. Cik Tarbiyah datang mengejutkan sekaligus mengingatkan, majlis dah nak mula. Saya mendapat mesej dari big boss, peringatan bahawa majlis dah nak mula. Malam itu ada perjumpaan dengan semua, sedikit pengisian rohani,dan suntikan semangat sebelum balik bercuti semester selepas ini.

Saya kurang tumpuan ketika itu, tapi sempat juga menangkap sedikit input yang saya kira memang berguna untuk menerusakan langkah akan datang.

“Saya nak balik lah” bisik saya kepada cik kebajikan yang duduk di sebelah saya.

“ mana boleh, lepas ni sambung diskusi pagi tadi”

Ya Allah, saya terlupa tentang tu. Dan ada perkara penting yang saya perlu kemukakan. Saya terlupa untuk fikirkan tentang tu.

“Kita minta tangguh je lah” kak long memberikan cadangan.

“em..” saya berfikir juga untuk itu, tapi bila saya fikir semula, seperti tidak ada masa lain pula.

Dan diskusi itu diteruskan. Dengan keadaan otak yang hang ketika itu, agak sukar saya menjelaskan dan mengemukakan idea dan pandangan. Tenaga sudah mencapai tahap negative. Dan kesannya, saya cukup tidak puas hati dengan keadaan diskusi yang kurang harmoni kerana kepenatan kebanyakan ahli mesyuarat.

Sekembali ke bilik. Sebelum melelapkan mata, saya teringat semula pesanan ustaz lebih kurang 4 tahun yang lalu, “Badan yang sangat letih akan merugikan dakwah”.

Sekarang baru saya mengerti maksud ustaz ketika itu. Semasa letih nilah, emosi tidak stabil, keputusan yang diambil tidak difikir dengan rasional dan perbincangan menjauhi keharmonian.

Bukan sekali dua saya menghadapi situasi seumpama ini, tidak kira lah yang saya hadapi sendiri, dan juga saya perhatikan berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat. Badan yang letih akan memaksimakan tahap tekanan, dan mengurangkan tahap rasional yang ada.

Hakikat keletihan itu sememangnya tidak boleh dielakkan, kerana saya tidak dapat menafikan bahawa kerja yang kita ada melebih daripada masa dan tenaga yang kita ada. Tetapi, semuanya perlu disusun dan diuruskan dengan baik. Saya mengambil pengajaran daripada beberapa situasi yang saya hadapi, aktiviti seharian perlu diaturkan dengan baik, supaya tidak berlaku lagi keletihan yang merugikan dakwah.


SrikandiMuda...

Category: | 0 Comments

Meneliti jejak-jejak yang telah dilalui selama melibatkan diri dalam medan yang penuh dengan pahit manis ini, sungguh, seribu satu rasa yang timbul. Dengan jadual padat disemester terakhir ini, lebih-lebih lagi disaat-saat sentuhan terakhir taklifan ini, sebenarnya seolah-olah tidak punya waktu untuk review langkah-langkah lalu. Cuma hati terkadang memberontak ingin dilayani seketika. Terlalu sering diabaikan kebelakangan ini.

Sekembali dari program terkini, teringat semula peristiwa paling menyentuh semasa program Muslim Intensive Training 09 cuti semester yang lalu. Ayat yang sama, saya luahkan kepada seorang peserta yang mengadu.

Dalam slot penghayatan dimalam terakhir program MUSLIM siri 3 tersebut, terimbas kenangan masa diri ini yang menjadi peserta program, menitikkan air mata diiringi azam menggunung dimalam penghayatan. Tak tau kenapa tidak seperti selalu, kali ini, saya tidak berapa berminat untuk mendampingi peserta yang sedang koreksi diri, biarkan masing-masing dengan dialog pribadi dengan diri sendiri. Sejujurnya diri saya sendiri tengah mengambil ruang untuk koreksi diri secara tidak langsung memandangkan kurangnya ruang mendapat input secara langsung kini. Lantas azam untuk program kali ini, 2 dalam 1, fasilitator dan peserta secara tidak langsung. Mudah-mudahan Allah beri ketenangan pada diri.

Dalam keheningan suasana dewan malam itu, Seorang peserta menoleh kebelakang dan memanggil saya. Saya menghampirinya, dengan muka yang cemas dia memberitahu,

"Akak, saya risau"
"Kenapa?" saya bertanya dengan dahi yang berkerut. Kenapa tidak, hampir semua peserta dalam dewan itu sedang menangis teresak-esak, paling kurang pun air muka sedih penuh keinsafan. Tapi adik yang seorang ini, muka cemas yang sungguh berbeza.

"Saya tidak rasa apa-apa" luahnya. menambahkan lagi kerutan di dahi saya.
Saya merenung wajah peserta tersebut inginkan penjelasan lanjut.

"Semua kawan-kawan dalam dewan ini sedang sedih, muhasabah diri, tapi saya tak rasa apa-apa, saya risau"

Saya tergamam seketika dengan penjelasannya. Spontan saya bertanya padanya,
"Nak berbual dengan akak kejap?" Dia hanya mengangguk.
"Mari kita keluar" saya mengambil keputusan untuk membawanya keluar dewan.
"Adik ada masalah?"
"Tidak ada, masalah saya saya tidak rasa apa yang kawan-kawan lain rasa"
"emm.." saya mencari-cari point yang sesuai untuk mengetahui masalahnya. saya yakin pasti ada sebabnya.
"Adik ada masalah dengan ibu bapa?" saya menduga. Slot penghayatan yang dihubungkaitkan antara hubungan anak dengan ibu bapa itu mungkin penyebabnya.
Dia menggeleng.
"Saya pernah lalui satu slot motivasi di sekolah, cukup dengan satu video ibu melahirkan anak yang ditayangkan tadi sudah membuatkan saya menangis teresak-esak. Tapi, malam ini, saya hairan akak. Dengan sekian banyak yang abang fasilitator berikan, saya tida mampu merasa apa-apa. Saya risau."

Dia menerangkan dengan muka cemas yang sungguh mematikan akal saya ketika itu. Sejujurnya selama terlibat dengan program-program seumpama ini, saya tidak pernah berjumpa dengan kes peserta mengadu seperti ini. Hampir setengah jam saya berbual dengannya, saya cuba berbual tentang keluarganya untuk mendapatkan maklumat asas latar belakang keluarganya, ternyata dia datang dari keluarga yang baik. Dan dia mengakui yang dialah yang paling bermasalah dalam keluarganya akibat dari pengaruh rakan-rakan sebanyanya. Itu pengakuannya sendiri.

Dia bukan tidak sedar, dia mengaku semua tentang kesalahan, demi kesalahan yang dia lakukan tanpa berselindung dari saya.
Saya terdiam kehabisan ayat bila dia sekali lagi mendesak saya,

"Kak Mahira, tolong saya. Kenapa saya tidak dapat rasa apa-apa"
Saya merenungnya,
"Hidayah Allah telah ditarik daripada saya kah akak?"
Saya tidak mengangguk dan juga tidak menggeleng.

Saya terasa pelik, jika benar hidayah bukan milik adik peserta tersebut, maka rasa cemas yang mendesaknya berjumpa dengan saya itu istilahnya apa pula.

Saya tidak pernah sampai hati meninggalkan adik-adik peserta dengan keadaan yang buntu begitu. Tapi saya juga hampir mati akal setelah lama berbual dengannya, dia mengangguk faham dengan setiap apa yang saya cuba jelaskan, tetapi di penghujungnya, dia tetap mendesak saya

"Macam mana ni akak, saya risau. Tolong saya , saya tidak rasa apa yang sepatutnya saya rasa."

Akhirnya, saya tidak tahu dari mana sumber fikiran saya ketika itu, dengan nada rendah saya berkata padanya

"Mintalah pada ALLAH dik, 'ketenangan' itu bukan akak yang punya" dia merenung saya.
"Kalaulah milik akak, akak dah bagi pada adik sekarang" Dia masih merenung saya.

Sebetulnya ketika itu saya perlu berada dalam dewan, adik-adik peserta kumpulan saya pasti tercari-cari fasilitator mereka.
Tapi, saya meminta adik tersebut mengambil air sembahyang, saya memanggil kak Misnah sekali, dan kami berjalan seiringan ke Surau... bersambung...


SrikandiMuda...

Category: | 1 Comment

Mehna dan tribulasi tidak pernah lekang dari perjalan hidup kita menuju matlamat dan impian. Keinginan yang tinggi kepada rasa hidup bertuhan, menjadikan setiap kekecewaan yang dicicipi sepanjang mengharungi medan ini tidak pernah menyentap semangat walaupun terkadang sedikit luntur dek situasi tekanan yang kurang sedia dihadapi.

"Bagaimana nak teruskan gerak kerja ni, semua orang lembab" hati yang bermonolog.

kadang-kadang, terzahir juga di riak wajah, menyebabkan kadang ada yang bertanya

"Kenapa muka tension ni, fikir masalah ummah ka?"
Aduh tamparan keras sebenarnya walaupun disambut dengan senyuman hambar, namun kata hati bermonolog memarahi,

"Kata nak ikut jejak Baginda, masalah sikit orang lain dapat kesan, dari riak wajah pula tu. kamu gagal wahai diri"

sesekali ada hujah pembelaan yang terlintas
"Orang lain tidak tau betapa sakitnya yang aku rasa. Tiada orang yang faham tiada orang yang mengerti."

"Kerana kau mencari pengertian dari insan yang juga sama lemahnya denganmu, kenapa engkau ketepikan Zat maha hebat, Dia pasti sentiasa memahami, Dia lah ubat segala duka dan kecewa" Hati kecil akhirnya memujuk, dan akur, tiada pembelaan lagi.


Keluhan demi Keluhan...

"Mahira, kamu kena belajar human sense" Pada mulanya saya juga tidak tahu apa hujung pangkalnya ustaz tiba-tiba menegaskan ayat tersebut. Yang pastinya ketika itu, saya adalah antara AJK asrama yang sangat digeruni atau dengan kata lain orang tak senangi. Tapi, itu bukan pelemah semangat saya yang berkobar-kobar, maklumlah baru merasai keindahan hidup ditarbiyah, dengan syariat pencipta. Tak peduli apa orang nak kata yang penting saya tahu apa saya buat. Pendirian kukuh masa tu.

"Siapa lah yang report pada PH HEM ni, " bentak seorang student aspuri di dalam bilik dobi .Saya mendengar dari luar.Nampaknya dia baru dimarahi PK HEM kerana 'dating'. Bila saya melangkah masuk, semua orang senyap. begitulah rutinnya, tiada yang teruskan perbualan tentang 'teman lelaki', 'budak aspura', 'dating', jika terlihat saya. Pakej topik tersebut, saya tidak boleh dengar, 'anti couple' kata mereka. Malah pernah sekali dua, kedengaran di telinga, orang me'lable' saya anti lelaki. Saya abaikan semua cakap-cakap orang, yang penting suasana Islamic di bumi Elopura berterusan. Masa tu dating adalah salah satu kesalah tatatertib asrama, sampai boleh buang asrama kalau didapati dating. Sekolah bestari yang Islamic, atas kerja keras beberapa individu yang sayangkan Islam.

"Jika ada yang dipanggil PK HEM, kerana 'dating' tak payah la cari siapa yang lapor, saya yang laporkan semuanya" Tegas saya memberitahu semua pelajar muslimah didalam surau aspuri. Muka-muka aspuri bermacam-macam riak, tapi semuanya senyap. dalam keterpaksaan datang ke surau, mereka memang 'membenci' saya. walaupun sebenarnya bukan saya yang laporkan kepada ibu angkat saya merangkap PK HEM sekolah pada masa tu, saya tidak suka golongan kaki dating ini mengugut adik-adik junior.

Kalau nak cerita tentang zaman sekolah ni memang panjang. Tapi, yang pastinya jiwa yang baru mendapat tarbiyah itu sangat telus. Dan akhirnya saya sedar, tarbiyah itu perlu saya lengkapkan thaqafahnya sehingga benar-benar memahami hakikat sunnahtullah seorang 'MANUSIA '. Syariatullah perlu diterjemah dengan cara yang seiring penerimaan Manusia. Lalu, saya mengangguk, saya perlu belajar tentang makhluk terbaik ciptaanNYA, belajar tentang MANUSIA.

Kita mana mungkin dapat memenuhi kehendak semua pihak. Dan mustahil kesempurnaan itu tercapai. Begitu juga sifirnya bila kita meminta orang lain memenuhi permintaan kita, pertimbangkanlah kemampuannya.

Pernah sekali saya rasa tidak dapat bertahan dengan karenah sahabat-sahabat. banyak yang saya tidak puas hati. Latas, keluhan demi keluhan menemani. Masakan perkara sekecil itu tidak diketahui. Berapa kali kiranya mereka ingin saya terangkan. Berapa banyak kali pula mereka cuba untuk fahamkan. Fuh, dalam hati hanya tuhan yang tahu, kadang-kadang terlintas di fikiran, "asyik aku yang kena memahami, yang mereka pernah tidak cuba memahami".

Keluhan oh keluhan. sungguh berat. Pernah sekali saya menghantar mesej kepada sahabat nun jauh mengharapkan secebis talian hayat ituk teruskan langkah,
"Ku harus bagaimana sebenarnya?"

Carilah jiwa 'pendidik'. pesanan pendek yang membuatkan saya berfikir panjang. pada perkiraan pertama saya, sepatutnya merekalah yang mendidik saya, ini tidak. Bila mengambil masa, bertanya kepada sang murabbi tempat rujukan dikala buntu, sama pesananya, cubalah berjiwa pendidik.

Memang kadang-kadang kita hampa dan kecewa dengan respon dan tindak tanduk orang di sekeliling kita yang langsung tidak memuaskan hati. Bagi kita sepatutnya bukan begitu. Lantas, keluhan berat akan terhambur dengan sewenangnya. Lalu pesan murabbi dilanjutkan, "jangan espact terlalu tinggi, kamu akan kecewa, didik secara pelahan, terap kan satu persatu, tawakal hasilnya kepada ALLAH"


Keyakinan PadaNya

Allah tidak suka orang yang mengeluh. Mak selalu marah bila saya mengeluh. Tidak bagus katanya.

Pasti ada penyelesaian dipenghujungnya. Bagaimana susahpun dipermulaan, di pertengahan, yakinlah ALLAH sentiasa merancang sesuatu hikmah dipenghujung sebuah perjalanan. Kembara demi kembara, mehna, tribulasi, dan keyakinan pada ALLAH akan menjadi penyedap rasa, pemulih semangat, pemujuk hati pada setiap episod perjalanan.

"AKU sebagaimana sangkaan hamba-hambaKU"

Lantas, saya berpesan pada diri, dalam beratnya sebuah keluhan, tidak perlu segalanya dizahirkan.

Cuma keyakinan padaNya perlu diperteguhkan. Disamping perkongsian dengan insan-insan terhampir yang menjadi tulang belakang. Hanya kita yang tahu, jauh mana kita pergi, kadang-kadang biarlah mereka tidak tahu semuanya. Yang penting Allah tidak pernah terlepas pandang dengan setiap detik yang kita dedikasikan untuk medan ini. Dikala mereka semua menilai hasil sebuah usaha, menilai luaran sebuah gerak laku, menilai riak wajah yang penuh kerutan, tidak mengapa, Allah tetap menilai Usaha yang dilakukan.

Teruskan kembara diri mencari TUHAN...

Hayati lirik lagu ni sambil tenangkan minda mendengar nya clik

Perjuangan
Album :
Munsyid : Saff One
http://liriknasyid.com


Perjuangan itu gerun dan mengerikan
Hebat dan dasyat menggerukkan hati
Bagi mukmin di sini harga dan nilainya 2x

Perjuangan itu bagai sampan di laut
Di atas lapang tiada perlindungan
Di bawa air melambung dan menggunung
Menongkah gelombang yang datang melanda

Kiri kanan depan dan belakang
Angin yang menderu tidak tahu bila datang
Hujan badai yang datang menyerang
Bak singa yang lapar yang garang

Kadang-kadang terdampar di batu karang
Penumpang menerima nasib berlainan
Ada yang jatuh ada yang tenggelam
Yang pandai berenang berpaut ke sampan

Ada yang berjaya berenang ke tepian
Sekali lagi dia melayar sampan
Walau pelayaran mungkin tidak berjaya
Namun harapnya hanya pada yang esa

SrikandiMuda...



Malam sebelum kertas pertama peperiksaan akhir, satu panggilan dterima daripada seorang senior. Saya tengah study group, utk subjek “Principle of Management” subjek minor untuk semester ini. Bila panggilan masuk ingin berbincang masalah ummah kini, rasa tak boleh nak tolak atau tangguh perbincangan, maka diteruskan perbualan itu sebagai sedikit selitan dipersiapan akhir menghadapi kertas peperiksaan.

Agak berat kes yang disampaikan kali ni, seorang remaja permpuan trouma selepas hampir di cabuli oleh dua orang lelaki tak dikenali. Tersentak juga bila mendengar berita tersebut sebab dikhabarkan remaja tersebut ataupun lebih spesifik pelajar tahun 5 di sekolah menengah sekitar Labuan, mengenali saya kerana pernah terlibat dalam satu program pelajar yang saya hadiri katanya. Saya pun kurang ingat program mana satu apatah lagi siapa orangnya, kerana ramai peserta setiap program dan saya memang agak lemah part ini, mengingat nama dan orang yang jarang-jarang dijumpai. Walaupun perbualan itu berakhir dengan tiadanya penyelesaian yang konkrit saya mampu fikirkan, perkara itu cukup meninggalkan satu keluhan berat dalam hati ini. Aduhai bumi Labuan.

Saya menyambung ulangkaji sedikit bab lagi malam tu bersama 4 orang sahabat yang cukup memahami, sudi menunggu perbincangan melalui telefon itu berakhir sebelum meneruskan sesi pembelajaran. Selesai semuanya, malam itu perlu diakhiri dengan sedikit rehat, untuk dapatkan tenaga menempuh dewan peperikasaan esok pagi. Saya tidur dalam keadaan kurang tenang, berfikir.

Selepas dua hari berlalu, petang tadi, dapat lagi satu perkhabaran mengejutkan. Melalui perkhidmatan online Yahoo Messenger (YM), satu lagi keluhan berat,

“Busy ke?”

“Tak lah, paper untuk minggu ni dah satle, minggu depan pula”

“Nak minta mahira bagi tazkirah kepada pelajar sekolah ****”

“O, ada usrah ke di sana? ” saya berkira-kira nak menolak sebenarnya.

“Ya. Tajuknya .Maruah diri. Ada pelajar yang ditangkap berzina”

Tersentak mendengar, lalu bersetuju saja dengan permintaan kakak yang bakal meninggalkan bumi Labuan beberapa ketika lagi.

Beratnya masalah pelajar zaman sekarang. Teringat pula satu ketika dalam satu sesi usrah di luar kampus masa tu, seorang kakak merangkap guru di sebuah sekolah menengah menceritakan ada seorang pelajarnya bertanya soalan berkenaan pentingkah ‘Dara’ seorang perempuan? Baginya tidak penting dan tiada beza pun. “Kami dah biasa ‘buat’ cikgu” dialog pelajar sekolah tersebut, menurut kakak tu yang bernada sebak bercerita kepada semua ahli usrah. Saya yang berwajah tenang, masa tu, sebenarnya tidak menggambarkan langsung perasaan yang tengah bercelaru, memikirkan masa depan generasi akan datang.

Bumi Labuan sangat-sangat memerlukan pancaran nur Islam. Andai tiada, maka gelap lah masa depan genarasi akan datang di sini. Cerita-cerita yang saya selitkan belum dapat menggambarkan keseluruhan keadaan di sini sebenarnya. Belum lagi buka cerita tentang arak yang seperti minuman harian sesetengah (bolehkah dikatakan majoriti?) masyarakat labuan. Hampir semua kedai runcit menjual arak pelbagai jenis dengan harga yang murah(bebas cukai). Setaraf dengan harga minuman lain.

Teringat seorang peserta program tahun lalu, menangis teresak-esak, dipenghujung program. Bila saya berjumpa sendiri dengannya, slow talk, dia terkenangkan semua yang pernah dilakukannya. Agak lama juga sesi personal talk dengan adik tu, dan bukan mudah nak menunggu dia menceritakan segalanya. Antara persoalan yang menyentuh hati, “Saya selalu minum arak kak, mesti Allah marah” lalu menyambung tangisannya. Tidak banyak yang mampu saya ungkapkan kepada adik tersebut, melainkan meyakinkan dia dengan kasih sayang, rahmat dan keampunan Allah yang terbuka luas untuknya, semoga dia perolehi kekuatan menempuh hari mendatang dengan persekitaran Labuan yang sangat mencabar ini.

Saya kehilangan kata-kata selepas bertemu Adik tersebut, kerana ada satu kesimpulan yang berlegar-legar di kepala. Bagi saya, anak-anak remaja Labuan, tidak pernah dikenalkan dengan ISLAM dan cara hidup Islam. Ya, memang belum merasai keindahan dan kenikmatan hidup beragama dan rasa bertuhan. Buktinya, pelajar tadi, dengan sesi program ringkas pada perkiraan saya, dan juga pengisian yang biasa-biasa sahaja pun, malah hanya sebuah program “touch and go”. sudah mampu menyentuh hati yang gersang itu. Lalu persoalan yang lebih berat menghempap kepala,

Maka ini tugas siapa?

Mudah-mudahan di beri kekuatan dan ditunjukkan jalan yang terbaik. Generasi masa hadapan perlu dibentuk dengan acuan Islam sudah tidak ada kaedah lain yang lebih baik. Hanya satu, Kembali pada ISLAM yang sebenar-benarnya.

**Saya masih berkira-kira ingin bermula dari mana untuk sesi tazkirah esok… sungguh banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.
SrikandiMuda...

Category: | 0 Comments

Wahai Allah,
Aku bukan siapa-siapa,
Berbanding sekalian hamba-hambaMu yang bertaqwa,
Aku bukan siapa-siapa,
Berbanding sekalian hamba-hambaMu yang beriman,
Aku bukan siapa-siapa,
Berbanding sekalian hamba-hambaMu yang berilmu,
Aku bukan siapa-siapa,
Berbanding sekalian hamba-hambaMu yang berakhlak mulia,
Aku bukan siapa-siapa,
Berbanding sekalian hamba-hambaMu yang berjuang menegakkan agamaMu,
Aku bukan siapa-siapa,
Berbanding sekalian hamba-hambaMu yang sentiasa bersyukur,
Aku bukan siapa-siapa,
Berbanding sekalian hamba-hambaMu yang beramal soleh,
Aku bukan siapa-siapa,
Berbanding sekalian hamba-hambaMu yang befikir sentiasa untuk ummah ini,
Aku bukan siapa-siapa,
Berbanding sekalian hamba-hambaMu yang sentiasa memberi sumbangan pada jalan agamaMu,

Wahai Tuhan,
Sesungguhnya aku bukan siapa-siapa,
Hanya insan biasa yang sentiasa mengharap belas dan kasihanMU,
Hanya Insan lemah yang sering kalah dengan ujianMu,
Hanya Insan dhaif yang sering tunduk dengan bisikan syaitan dan nafsu,

Namun, Wahai Tuhanku,
Aku juga ada keinginan untuk menjadi hamba yang tunduk dan patuh sentiasa padaMU,
Aku juga punya kemahuan untuk 'memberi' sesuatu di jalanMu,
Aku juga punya kehendak untuk menjadi hamba yang sentiasa mensyukuri nikmatMu,
Lantas sekali lagi insan biasa ini,
Menadah padaMu,
Bantulah aku Ya Rabb,
Titipkan ketenangan dan kesungguhan,
Dalam jalan mengejar redhaMu,

Di dalam hatiku dan sekalian sahabat-sahabat sebarisku,
kerana ku yakin mereka juga dahagakan belas kasihanMu,
seperti halnya aku...

Amin.


Salam imtihan kepada semua sahabat-sahabat perjuangan tidak kira di mana berada.
Setinggi-tinggi kemaafan kupohon untuk sekian banyak kesalahan yang dilakukan,
Semoga dipermudakan menghadapi peperiksaan akhir, di sini dan di 'SANA' nanti....

"Umat Islam HARUS cemerlang"


SrikandiMuda...

Category: | 0 Comments