Tahun ini masuk tahun ketiga saya menggenggam
segulung ijazah. Hari konvokesyen pada oktober 2010 masih lagi segar dalam
ingatan, mana tidaknya, hari itulah dengan penuh terharu saya memerhatikan
titisan-tisan jernih yang gugur dari kelopak mata dua insan teristimewa dalam
hidup ini. Saya tahu itu air mata kegembiraan dan kebanggaan mereka, dalam kesempitan
hidup, sekian banyak dugaan yang hadir, akhirnya mereka menjadi antara ribuan
ibubapa yang hadir di majlis konvo anak yang mereka jaga bak menatang minyak
yang penuh.
Secara pribadi, saya berbangga dengan kegigihan
dua insan ini. Mereka hanya bekerja biasa, dan belajar pun hanya peringkat
rendah. Satu perkara yang membuatkan saya rasa saya sangat bertuah berbanding
segelintir rakan-rakan yang lain adalah, ibu dan bapa memberikan 100% kepercayaan
kepada saya sejak sekolah menengah hingga kini.
“Bapa tau kamu faham apa yang kamu buat dan
bapa harap selamanya kamu tidak sia-siakan kepercayaan bapa ini” pesanan
ringkas yang sering saya dengar ini akan keluar dari mulut bapa setiap kali
saya membuat keputusan-keputusan besar untuk hidup saya.
KEPERCAYAAN
Ya, kepercayaan itulah titik tolak saya menjadi
saya yang sekarang. Saya ingat lagi sejursr mendapat surat tawaran untuk memasuki
dunia universiti, saya khabarkan kepada mereka, tanpa berfikir, bapa
mengizinkan saya membuat keputusan untuk diri sendiri, mak hanya mengangguk. Saya
tahu malam itu mereka tidak lena tidur memikirkan saya, bagaimana anak mereka
akan pergi jauh dari pandangan mata, dan kos perbelanjaan yang tidak pasti
tertanggung ataupun tidak. Satu perkataan yang saya rasa mereka pegang pada
ketka itu, tawakkal. Percaya saja, kalau berusaha, pasti ada jalannya.
Saya menjalani kehidupan di kampus selama tiga
tahun pengajiian. Dalam tempoh ini jugalah saya berpeluang melalui satu proses
tarbiyah yang tidak dilalui oleh semua orang. Bergiat aktif dalam persatuan yang
berorentasikan dakwah betul-betul menggilap potensi diri. Kesibukan berprogram,
menguruskan persatuan, merangka perancangan, menguruskan ahli yang pelbagai
ragam, menghadapi karenah pihak pentadbiran universiti dan mendepani masyarakat
kampus yang datang dari elbagai latarr belakang. Bila kenang-kenang semula,
terasa banyak juga kesilapan lampau yang agak lucu bila difikirkan. Namun,
itulah proses pembelajaran.
Saya ingat lagi, cuti semester pada tahun kedua
pengajian, saya mengambil keputusan untuk tidak pulang ke kampung halaman. Kami
merancang untuk mengikuti daurah ilmu selama sebulan di pondok Baitul Qura,
Sungai Udang, Melaka. Saya menghubungi keluarga dan memaklumkan hasrat itu,
sekali lagi, kepercayaan yang diberikan oleh mereka melegakan saya. Kuasa ‘percaya’
itu sangat besar pengaruhnya. Betul kata seorang sahabat, bila orang beri kita
kepercayaan , hargai. Sekali dia ambil balik, kita sukar untuk dapatkannya
semula.
MEDAN LUAR KAMPUS
Setelah melangkah keluar kampus, saya
sebenarnya mempunyai harapan besar untuk meninggikan ataupun sekurang-kurangnya
mengekalkan ‘nilai’ diri ini. Namun , saya terpaksa mengakui, nilai itu
menyusut sedikit demi sedikit. Lihat saja dunia penulisan yang bertahun-tahun
saya tinggalkan. Kekerapan menelaah buku—buku ilmiah juga semakin menurun. Saya
berharap perkara ini dapat saya tangani dengan segera. Setelah berbual sekejap
dengan murabbi saya baru- baru ini, dapat sedikit suntikan untuk kembali
muhasabah diri. Ditambah pula kehadiran sahabat-sahabat dialam maya yang
menyalurkan talian hayat mengingatkan kembali zaman tarbiyah kampus itu. Saya
bertegas kepada diri, apalah ertinya segulung ijazah ini, andai sebuah tarbiah
itu kaku tidak seperti pohon yang tidak berbuah. Sahabat-sahabat, mari kita
menambahkan nilai diri kita. Manfaatkan proses tarbiyah yang kita lalui dalam hidup
ini. Bukan masa lalu yang kita perlu banggakan, tapi rancanglah untuk
memastikan penghujung perjalan kita di dunia ini berkesudahan cemerlang untuk dijadikan tiket untuk bertemu Pencipta kita di
sana kelak. Paling terkesan bila ustaz Abdullah ingatkan, “kita hidup sekejap
saja di dunia ini, kena tinggalkan sesuatu yang boleh membantu kita dialam lain
nanti”.
SrikandiMuda...
Category: | 0 Comments